Muhyiddin Yassin dan empat lagi pimpinan Bersatu melepaskan jawatan dalam PN, timbulkan persoalan masa depan gabungan pembangkang itu.
KUALA LUMPUR: Lima pimpinan utama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah meletakkan jawatan mereka dalam Perikatan Nasional (PN).
Bermula dengan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melepaskan jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari 2026.
Beliau diikuti oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong Sahruddin Jamal yang meletak jawatan sebagai Pengerusi PN Johor.
Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula melepaskan jawatan sebagai Setiausaha Agung PN dan Pengerusi Badan Perhubungan PN Selangor.
Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN Perak.
Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan Mohamad Hanifah Abu Baker turut mengundur diri sebagai Pengerusi PN Negeri Sembilan.
ADUN Taman Medan Dr Afif Bahardin juga bertindak meletakkan jawatan sebagai Setiausaha PN Selangor.
Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan parti itu akan mengemukakan beberapa nama untuk dipertimbangkan sebagai Pengerusi PN baharu.
Nama-nama itu dijangka dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) PN dalam masa terdekat.
Penganalisis politik Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata situasi ini mencerminkan perebutan pengaruh dan krisis kepercayaan.
“Ini menunjukkan seolah-olah berlakunya perpecahan yang sedia ada, kalau dalam bahasa Inggeris kita kata ‘elephant in the room’,” katanya.
Beliau berkata perbezaan pandangan meletakkan Bersatu dan PAS di persimpangan untuk meneruskan kerjasama atau membawa haluan masing-masing.
“Jika mereka sudah tidak lagi dapat mencari titik pertemuan, titik sepakat, mungkin Bersatu dengan PAS harus mencari hala tuju masing-masing,” katanya.
Beliau menambah situasi ini boleh membuka laluan kepada penjajaran baharu dalam politik pembangkang negara.








