JPJ Melaka sita enam kenderaan mewah kerana lesen tamat tempoh, tiada insurans dan lesen digantung dalam operasi Ops Luxury.
MELAKA: Enam kenderaan mewah telah disita oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka dalam operasi khas Ops Luxury yang dijalankan di sekitar negeri itu.
Operasi itu dilaksanakan sejak 1 Ogos lepas.
Pengarah JPJ Melaka Siti Zarina Mohd Yusop (gambar) berkata kesemua kenderaan itu disita atas kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans yang sah.
Pemeriksaan lanjut turut mendapati sebuah kenderaan jenis Mercedes-Benz dipandu oleh seorang individu yang Lesen Memandu Kompeten (CDL) telah digantung.
“Perbuatan ini merupakan satu kesalahan serius yang bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain,” katanya dalam satu kenyataan.
Siti Zarina berkata JPJ memandang serius kesalahan memandu tanpa kelayakan yang sah.
Beliau menegaskan status kenderaan mewah tidak memberikan sebarang kekebalan daripada tindakan penguatkuasaan.
“Tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana individu yang didapati memandu ketika lesen digantung atau gagal mematuhi syarat pelesenan ditetapkan,” katanya.
Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa memastikan lesen memandu berada dalam tempoh sah dan tidak digantung.
Mereka juga perlu memastikan LKM serta perlindungan insurans kenderaan diperbaharui bagi mengelakkan tindakan undang-undang lebih berat dikenakan.








