JPJ Negeri Sembilan dedahkan kebosanan akibat kesesakan antara punca utama penyalahgunaan lorong kecemasan, dengan 325 notis dikeluarkan sempena cuti sekolah
SEREMBAN: Kebosanan akibat terpaksa berdepan kesesakan lalu lintas yang lama adalah antara punca utama lorong kecemasan di lebuh raya disalah guna.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan Hanif Yusabra Yusuf berkata antara alasan yang diberikan oleh pengguna ialah mereka sudah terbiasa menggunakan lorong berkenaan dan ingin cepat tiba ke destinasi.
Beliau menegaskan penggunaan lorong kecemasan bukan sahaja melanggar undang-undang malah boleh menghalang pergerakan ambulans, jentera bomba dan pasukan keselamatan.
“Ia sekali gus mengancam nyawa,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara di sini.
Sempena musim cuti sekolah, JPJ melaksanakan operasi pencegahan penyalahgunaan lorong kecemasan bermula 20 Disember lepas hingga 11 Januari depan.
Sehingga semalam, sebanyak 325 notis telah dikeluarkan kepada pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan di bawah Kaedah 53(1) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.
Mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan kompaun RM300 atau didakwa di mahkamah.
“Tiada sebarang kompromi akan diberikan kepada mana-mana pihak yang terlibat,” tegas Hanif.
Sepanjang tahun lepas, sebanyak 2,288 kes penyalahgunaan lorong kecemasan direkodkan di negeri ini.
Statistik itu jelas menunjukkan tahap kesedaran serta pematuhan terhadap peraturan tersebut perlu dipertingkat.
Hanif berkata JPJ negeri akan meneruskan penguatkuasaan secara berterusan, bersasar dan berfokus khususnya di laluan utama serta kawasan berisiko tinggi.
Orang awam juga digalakkan menyalurkan maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang trafik.
Ini boleh dilakukan melalui Aplikasi MyJPJ (e-Aduan) atau e-mel aduantrafik@jpj.gov.my bagi membantu tindakan penguatkuasaan lebih berkesan.








