Pakar tekankan peranan ibu bapa dan aktiviti sukan untuk sokong kawalan media sosial, selain usaha kerajaan perketat pengesahan umur
KUALA LUMPUR: Insiden masalah sosial melibatkan pelajar sekolah tahun lalu mencetuskan kebimbangan serius dalam kalangan ibu bapa.
Kerajaan melaksanakan program percubaan kawal selia atau sandbox bermula 1 Januari lepas untuk menilai keupayaan teknikal sedia ada.
Pendekatan itu melibatkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta beberapa platform media sosial yang dikenal pasti.
Malaysia cenderung memperkukuh mekanisme pengesahan umur yang lebih jelas dari segi pelaksanaan dan penguatkuasaan.
Pakar psikologi klinikal kanak-kanak Dr Noor Aishah Rosli menyifatkan pendekatan itu sebagai langkah pencegahan jangka panjang.
“Kita tidak mahu menambah data statistik berkaitan tekanan, keresahan dan ketagihan skrin,” katanya.
Data kajian sebelum ini menunjukkan sembilan daripada 10 kanak-kanak kini memiliki akaun media sosial.
Mereka menghabiskan purata sehingga lapan jam sehari melayari platform seperti TikTok dan YouTube.
Laporan UNICEF 2020 pula menunjukkan 91% kanak-kanak Malaysia berusia 13 hingga 17 tahun melayari internet setiap hari.
Sebanyak 70% daripadanya pernah terdedah kepada kandungan yang mengganggu.
Noor Aishah berpandangan penguatkuasaan undang-undang semata-mata tidak mencukupi tanpa peranan ibu bapa diperkukuh.
“Risiko terbesar ialah apabila undang-undang dilaksanakan tetapi perubahan sikap dan teladan tidak berlaku,” katanya.
Beliau menegaskan anak-anak belajar melalui pemerhatian dan peniruan, bukan arahan semata-mata.
“Apabila ibu bapa sendiri sentiasa menggunakan telefon pintar, anak-anak menganggap ia sebagai perkara biasa,” katanya.
Jurulatih kecergasan Pasukan Futsal Kebangsaan, Syafique Faudzil, berkata pengalihan masa remaja kepada sukan mampu membantu.
“Pengurangan pendedahan kepada media sosial juga boleh meningkatkan prestasi dalam sukan dan aktiviti fizikal,” katanya.
Beliau berkata aktiviti sukan turut membantu pembentukan identiti diri yang lebih jelas melalui peranan tertentu.
Ia juga membantu kawalan emosi menerusi pembelajaran mengurus kekecewaan dan kebimbangan.
“Pengalaman ini memupuk nilai kendiri dan rasa tujuan hidup yang lebih jelas,” katanya.
Pengurangan kebergantungan terhadap media sosial berpotensi meningkatkan fokus dan prestasi remaja dalam pelbagai aspek kehidupan.








