Wanita 67 tahun maut dilanggar SUV di Tanjung Tokong, pemandu warga asing berusia 51 tahun disyaki mabuk ditahan polis
GEORGE TOWN: Seorang wanita warga emas maut selepas dilanggar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipandu seorang lelaki warga asing disyaki mabuk.
Kejadian berlaku kira-kira jam 11.30 malam di Jalan Lembah Permai, Tanjung Tokong.
Mangsa berusia 67 tahun itu tercampak ke atas jalan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad berkata siasatan awal mendapati SUV itu bergerak dari arah Jalan Mount Erskine menuju ke Jalan Tanjung Bungah.
“Semasa tiba di tempat kejadian, SUV telah terlanggar pejalan kaki yang melintas dari kiri ke kanan jalan,” katanya.
Abdul Rozak berkata pemandu lelaki berusia 51 tahun itu disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang dibenarkan.
Keputusan itu berdasarkan hasil ujian saringan alkohol yang dijalankan.
Polis telah menahan lelaki terbabit untuk siasatan lanjut.
Permohonan perintah reman akan dibuat bagi membolehkan siasatan di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 diteruskan.








