Sukarelawan Malaysia beri bantuan psikososial kepada mangsa banjir Aceh yang masih trauma, fokus pada sokongan emosi dan keperluan asas.
DUNGUN: Mangsa banjir di Aceh, Indonesia masih memerlukan sokongan, khususnya dari segi psikososial susulan bencana terburuk yang melanda wilayah itu sejak sebulan lepas.
Ketua Misi Bantuan Bencana Banjir di Aceh Faiz Qayyuum Abd Majid berkata sebanyak 10 anggota sukarelawan mewakili badan bukan kerajaan (NGO) dari Malaysia berada di Batang Ara, Daerah Aceh Tamiang.
“Kehadiran kami ini juga ingin memastikan mangsa tahu mereka tidak bersendirian dalam mengharungi krisis ini,” katanya.
Beliau berkata tempoh sebulan selepas bencana lazimnya menjadi fasa paling mencabar bagi mangsa apabila perhatian dunia mula beralih.
Faiz Qayyuum berkata cabaran utama misi itu ialah infrastruktur yang lumpuh sepenuhnya di kebanyakan kawasan terjejas.
Akses kepada bekalan air bersih dan tenaga elektrik masih belum pulih di sana.
“Situasi itu bukan sahaja menyulitkan kehidupan seharian mangsa, malah menuntut ketabahan fizikal dan mental tinggi daripada barisan sukarelawan,” katanya.
Keadaan cuaca yang masih hujan turut mengganggu kelancaran pengurusan logistik keluar masuk ke kampung-kampung terjejas.
Sepanjang misi, pasukan sukarelawan melaksanakan gerak kerja komprehensif di pusat pemindahan.
Mereka menjalankan agihan kit bayi serta kit kebersihan wanita yang mengandungi tuala wanita serta pakaian dalam.
Misi itu turut diperkasakan dengan penyediaan makanan siap masak menerusi dapur umum untuk kira-kira 500 mangsa.
Aktiviti sukaneka bagi merawat trauma kanak-kanak serta perkhidmatan gunting rambut percuma turut diadakan.
Seorang sukarelawan, Syafiqah Nabihah Shamsul Bahri berkata misi pertamanya ke luar negara memberikan pengalaman yang amat menyentuh perasaan.
“Perasaan hiba menyelubungi diri apabila melihat penderitaan saudara kita yang ditimpa bencana itu,” katanya.
Media melaporkan banjir dan tanah runtuh yang melanda Sumatera pada akhir November lepas mengorbankan lebih 1,000 nyawa.
Seramai 165 orang masih hilang manakala lebih 250,000 penduduk terpaksa dipindahkan.
Menurut Agensi Pengurusan Bencana Indonesia, Aceh Tamiang mencatatkan jumlah penduduk dipindahkan kedua tertinggi.
Kira-kira 115,000 orang dipindahkan di Aceh Tamiang, selepas Aceh Utara yang merekodkan 166,900 orang.








