PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima memorandum daripada gabungan 16 badan bukan kerajaan yang menyatakan sokongan terhadap kepimpinannya.
Memorandum itu diserahkan oleh Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia Ahmad Fahmi Mohd Samsudin selepas solat Jumaat di Surau Al Quddus Presint 16.
Antara NGO yang menyatakan sokongan ialah ABIM, MAPIM, IKRAM, WADAH dan PKPIM.
Ahmad Fahmi berkata memorandum itu mengandungi lima perkara utama termasuk menyokong kepimpinan dan usaha Perdana Menteri memulihkan ekonomi negara.
Perkara lain ialah menyeru Malaysia memanfaatkan Sidang Kemuncak AS-ASEAN untuk memperkukuh peranannya sebagai Pusat Keamanan Serantau.
Memorandum juga menyatakan sokongan terhadap ketegasan Perdana Menteri membela hak rakyat Palestin dan memperkasa suara kemanusiaan global.
“Kita perlu memperkukuh peranan Malaysia sebagai pemain utama dunia dengan memanfaatkan kepengerusian ASEAN,” katanya.
Beliau menekankan kepentingan menyatakan pendirian negara semasa kehadiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump. – Bernama







