Sunday, November 2, 2025
26.8 C
Malaysia
spot_img

Bakal bapa maut ditembak 18 das di Sungai Golok sebelum anak sulung lahir

The Sun Webdesk

Mohd Fuad Fahmie Ghazali maut ditembak 18 das di Thailand ketika uruskan kelahiran anak sulung, isteri saksikan kejadian di depan mata.

PASIR MAS: Luluh hati apabila mendapat berita anak lelaki yang bakal menyambut kelahiran anak sulung bulan hadapan maut ditembak dengan kejam, kata ibu Zaiton Abdul Rahman, 64, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kepas Apam di sini, hari ini.

Beliau berkata lebih memilukan, apabila hari ini menyambut jenazah anak sendiri Mohd Fuad Fahmie Ghazali, 33, yang dihantar pulang menggunakan kenderaan jenazah, ke rumah kira-kira 12.15 tengah hari tadi.

“Semalam saya menerima panggilan daripada menantu Wan Fatihah Mat Hussin, 35, mengatakan ada orang yang dikenali menembak suaminya (Mohd Fuad) beberapa kali di hadapan rumah, kira-kira 7 malam.

“Anak saya dilaporkan cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Sungai Golok, namun disahkan meninggal dunia pada 9 malam kerana dikatakan tembakan terkena organ dalaman,” katanya kepada pemberita di rumahnya hari ini.

Zaiton berkata anaknya itu pergi ke Thailand, kerana mahu menguruskan mengenai kelahiran anak sulungnya.

Beliau berkata dia sendiri tidak mengetahui punca kejadian yang menyebabkan anaknya itu ditembak, namun berdasarkan cerita daripada menantunya, suspek ada meminjam wang daripadanya.

“Saya berharap pihak polis Thailand segera menangkap suspek dan dikenakan hukuman setimpal,” katanya.

Sementara itu, Allahyaram Mohd Fuad selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Apam, Apam Putra, di sini pada 2.30 petang tadi.

Jenazah Mohd Fuad dibawa pulang dari Sungai Golok, Narathiwat tengah hari tadi, sebelum disembahyangkan di Masjid Kubur Besar. 

Jenazah tiba di tanah perkuburan kira-kira 2 petang dan dikebumikan dengan diiringi ahli keluarga serta penduduk kampung.

Isteri arwah Wan Fatihah, menceritakan bahawa kejadian tembakan itu berlaku di hadapannya melibatkan dua individu yang datang dan terus menembak suaminya.

“Ketika itu, arwah sedang memasang kamera litar tertutup di hadapan rumah saya di Sungai Golok, apabila tiba-tiba dua individu datang dan melepaskan tembakan dengan dua laras pistol, menyebabkan suami saya terus rebah. 

“Saya segera memeluknya, namun suspek terus melepaskan tembakan hingga kehabisan peluru sebelum melarikan diri dengan kereta,” katanya kepada pemberita di tanah perkuburan.

Wan Fatihah berkata tembakan mengenai bahagian belakang badan dan leher arwah dan pihak hospital memaklumkan suaminya ditembak sebanyak 18 das.

Hari ini, Bernama melaporkan Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat mengesahkan seorang lelaki rakyat Malaysia, maut ditembak dalam kejadian di sebuah rumah di pekan Sungai Golok, Narathiwat, Thailand, malam tadi. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories

spot_imgspot_img