Usaha utama kerajaan meningkatkan taraf hidup bermaruah terus dimaknai melalui penambahbaikan gaji, bantuan kos sara hidup, dan perlindungan sosial.
BELANJAWAN negara mencerminkan nilai tadbir urus kerajaan dalam mengimbangi hala tuju negara bukan sahaja bagi sebuah penggal, tetapi memastikan matlamat pembangunan mampan untuk generasi akan datang.
Setiap tahun kita mendengar, menilai dan mengkritik keputusan kerajaan melibatkan cukai, pelepasan cukai mengikut kategori, bantuan subsidi dan golongan sosial mana yang akan mendapat manfaat lebih?
Tema bagi Belanjawan 2027 ialah “Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” memperuntukkan RM510 bilion dan merupakan belanjawan kedua di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Maka sudah tentu memberikan kesinambungan terjemahan konsep wasatiyyah, fokus untuk membina sebuah negara yang seimbang dan berkeadilan.
Penganalisa ekonomi akan melihat petunjuk makroekonomi dan keberkesanan dasar fiskal, di samping mengkaji prestasi pasaran dengan mengambil kira keadaan semasa global.
Namun di sebalik unjuran angka ini, jangan kita lupa akan tanggungjawab apabila hidup dalam sebuah masyarakat adalah membantu pautan lemah.
Usaha utama kerajaan meningkatkan taraf hidup bermaruah terus dimaknai melalui penambahbaikan gaji, bantuan kos sara hidup, dan perlindungan sosial.
Pelbagai inisiatif langsung untuk meringankan kos sara hidup melalui bantuan kewangan dan Sara Hidup STR dan SARA akan ditingkatkan kepada RM16 bilion bagi memanfaatkan hampir 9 juta penerima dengan bantuan sehingga RM150 sebulan atau RM1,800 setahun.
Kenaikan gaji minima serta pelepasan cukai mengikut kriteria, mengambil kira tekanan ekonomi semasa dan kadar inflasi dijangka meningkat sedikit pada awal tahun 2027 sebelum menyederhana apabila kesan kenaikan kos di peringkat huluan.
Pengurusan dan pentadbiran negara tidak pernah sempurna tetapi yang penting adalah mengutamakan rakyat mampu hidup dan merasai kemajuan bersama.
Sebelum kita dapat mencapai status negara berpendapatan tinggi, wajar bagi semua menanamkan sifat empati dan jati diri negara. Mungkin ada segelintir merasakan hak mereka diambil lebih bagi membantu mereka yang tidak layak.
Hakikatnya kadangkala kita leka dengan nikmat, hingga lupa bahawa ada hari kita rasakan hidup itu susah tetapi masih ada yang bagi mereka hendak hidup pula susah atas desakan ekonomi.
Tanggungjawab fiskal negara harus bermula dengan amalan dan gaya hidup kita terlebih dahulu. Lihat dan nilai semula tanggungan, rancang perbelanjaan dan pelaburan secara lebih berhemah.
Kesederhanaan di dalam kehidupan akan melindungi kita daripada perbelanjaan daripada melebihi pendapatan. Daya umpil atau ‘leverage’ dalam kewangan hanya wajar digunakan bagi mereka yang mengambil risiko perniagaan dan bukannya untuk gaya hidup boros.
Semoga belanjawan negara dapat didebat dengan lebih berhemah oleh ahli-ahli parlimen, agar suara rakyat dapat dibela dengan lebih bermaruah.
Aidi Amin Yazid
Pengerusi Pertubuhan Jaringan Insan Madani









