Tuesday, October 28, 2025
24.2 C
Malaysia
spot_img

Melaka cipta rekod baharu dengan 50,000 biji onde-onde

The Sun Webdesk

Melaka hasilkan 50,000 biji onde-onde sempena festival, cipta rekod baharu Malaysia Book of Records dan tonjol warisan kuih tradisional.

MELAKA: Melaka berjaya mencipta rekod baharu menerusi penghasilan sebanyak 50,000 biji kuih onde-onde sekali gus mengangkat keunikan kuih tradisional itu.

Rekod yang bakal dicatatkan dalam Malaysia Book of Records itu dicapai sempena Festival Seni Selat Melaka dan Festival Sungai Melaka 2025.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Melaka Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata penghasilan kuih tradisional yang juga dikenali sebagai Buah Melaka itu antara usaha mengetengahkan keunikan juadah warisan negeri.

“Usaha ini bukan sekadar untuk mencipta rekod tetapi lebih kepada mempopularkan kembali kuih tradisional ini yang mempunyai rasa enak serta aroma tersendiri,” katanya.

Beliau menekankan keunikan onde-onde yang diperbuat daripada bahan seperti tepung pulut, kelapa parut, dan gula Melaka.

Program yang bermula 9 pagi itu melibatkan penyertaan kira-kira 500 peserta terdiri daripada penduduk setempat, JAPERUN, agensi kerajaan negeri, persatuan chef dan pelajar institusi pengajian tinggi.

Abdul Razak berkata onde-onde yang berjaya dihasilkan itu akan diedarkan kepada orang ramai termasuk pelancong di kawasan sekitar.

Festival selama tiga hari itu menampilkan pelbagai pengisian menarik kepada pengunjung dengan lebih 30 acara.

Antara acara menarik ialah Busana By The River yang menggalakkan peserta mengenakan pakaian tradisional di tepi Sungai Melaka.

Peserta yang memakai pakaian tradisional berpeluang menikmati diskaun 30 peratus untuk Melaka River Cruise.

Festival itu turut menampilkan pesta makan durian, pertandingan memancing, Pasar Saloma dan perarakan bot berhias di Telok Berembang, Lubok China.

Acara kemuncak festival akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh pada malam ini.

Abdul Razak mengalu-alukan kehadiran orang ramai bagi memeriahkan festival tersebut. – Bernama

Related

spot_img

Latest

spot_img

Popular Categories

spot_imgspot_img