Pengendali Nafuzi Zain bimbang tujuh pemain utama mungkin tidak dibebaskan kelab Liga Super untuk Sukan SEA 2025, cabaran besar menjelang aksi pembukaan
SHAH ALAM: Skuad bola sepak Bawah 23 Tahun (B-23) negara mungkin tidak dapat menurunkan tujuh pemain utama untuk Sukan SEA 2025 di Thailand ekoran komitmen bersama kelab Liga Super.
Pengendali skuad Nafuzi Zain mengakui situasi itu merisaukannya menjelang aksi pembukaan menentang Laos pada Sabtu ini, satu perlawanan wajib menang selepas kegagalan pada Piala ASEAN dan kelayakan Piala Asia.
“Setakat ini tujuh (pemain) yang pasti (tidak berada dalam pasukan) tetapi pemain Selangor mungkin (dapat beraksi) berdasarkan perbincangan,” katanya.
Beliau berkata dua kejohanan sebelum ini gagal kerana kekalahan pada perlawanan pertama, justeru pasukan memerlukan pemain terbaik.
“Kami tahu ini bukan dalam kalendar FIFA dan kelab mempunyai hak tidak melepaskan pemain namun harap pertimbangan dilepaskan pada perlawanan ini,” ujar Nafuzi.
Beliau berkata demikian selepas sesi latihan di Padang Latihan Sime Darby, Bukit Jelutong.
Nafuzi menegaskan pemain yang beraksi dalam Liga Super memiliki tahap kematangan dan pengalaman lebih tinggi untuk membantu pasukan pada saat genting.
Beliau memaklumkan skuad yang memulakan kem latihan pusat sejak 25 November berlatih dalam keadaan serba kekurangan.
“Dari segi persiapan, kami berlatih pun dalam situasi kekurangan pemain,” katanya.
Sementara itu, pemain pertahanan Ahmad Aysar Hadi Mohd Shapri berharap akan ada ‘keajaiban’ yang mampu menjadi titik perubahan buat skuad negara.
“Kami tidak boleh ambil mudah dan banyak benda yang kami pelajari khususnya dari segi bermain satu pasukan,” katanya.
Beliau berkata pasukan telah mengambil maklum atas semua kejohanan lepas dan akan berusaha sehabis baik pada Sukan SEA kali ini.
Skuad B-23 yang diundi dalam Kumpulan B akan memulakan saingan menentang Laos sebelum berdepan Vietnam di Stadium Rajamangala, Bangkok.
Mengikut format kejohanan, hanya juara kumpulan dan satu pasukan kedua terbaik layak ke separuh akhir.
Kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas acara bola sepak Sukan SEA ialah pada 2011 di Jakarta. – Bernama







