Kira-kira 1.5 juta orang saksikan perarakan besar-besaran sempena Hari Memperingati Orang Mati di Mexico City dengan 8,000 peserta berkostum.
MEXICO CITY: Kira-kira 1.5 juta orang membanjiri Mexico City pada Sabtu untuk menyaksikan perarakan besar-besaran sempena Hari Memperingati Orang Mati, menurut pihak pentadbiran bandar raya itu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Dalam edisi kesembilan perarakan itu, rangka diperbuat daripada kadbod, kira-kira 8,000 peserta berkostum, serta kenderaan berhias bertemakan karnival berarak melalui jalan utama di ibu negara Mexico itu.
Hari Memperingati Orang Mati, yang diiktiraf sebahagian daripada Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan UNESCO, menggabungkan unsur kepercayaan pra-Hispanik dan Kristian.
Pada 1 Nov, masyarakat mempercayai roh kanak-kanak yang meninggal dunia akan kembali ke dunia untuk melawat keluarga mereka, manakala roh orang dewasa pula pada 2 Nov.
Keluarga akan mengunjungi tanah perkuburan, makan, minum dan menyanyi di sisi pusara orang tersayang, serta meletakkan lilin serta makanan sebagai persembahan di kubur serta di altar di rumah masing-masing.
Namun begitu, perarakan di Mexico City ini adalah tradisi moden yang bermula pada 2016 dan diilhamkan daripada satu babak dalam filem James Bond, Spectre. – Bernama-dpa










