Kebanyakan Rohingya di Kedah miliki kad UNHCR, operasi imigresen berterusan
ALOR SETAR: Seramai 14,000 etnik Rohingya dikesan menetap di seluruh Kedah.
Pengarah Imigresen Kedah Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata kebanyakan mereka memiliki kad UNHCR yang sah.
“Jabatan Imigresen Malaysia Kedah membuat profil semua etnik Rohingya di negeri ini, di semua daerah ada etnik Rohingya… apabila kita masuk ke kawasan mereka, kebanyakan mereka ada kad UNHCR,” katanya.
Beliau menambah operasi dan pemeriksaan berterusan dilaksanakan terhadap warga asing tersebut.
Penahanan akan dilakukan sekiranya mereka tidak memiliki dokumen yang sah.
Depot Imigresen Belantik di Sik kini menampung 1,432 tahanan melebihi kapasiti 950 orang.
Daripada jumlah itu, 1,217 tahanan adalah warga Myanmar dengan 522 daripadanya etnik Rohingya.
“Bagi warga Myanmar bukan etnik Rohingya kita tidak ada masalah untuk mengusir mereka pulang, tetapi bagi etnik Rohingya mereka tidak diiktiraf sebagai warganegara Myanmar,” jelas Mohd Ridzzuan.
Keadaan ini menyebabkan sesetengah tahanan Rohingya berada di depot selama lapan tahun.
Kebanyakan mereka ditahan ketika cuba memasuki Malaysia melalui jalan laut.
Sebelum ini dilaporkan 29 individu maut dalam insiden bot karam membawa pendatang tanpa izin Rohingya di perairan Langkawi. – Bernama






