APM selamatkan 29 pelajar tahfiz di Pekan yang terputus hubungan akibat banjir, manakala tujuh jalan di daerah Kuantan ditutup kepada semua kenderaan.
KUANTAN: Seramai 29 pelajar Maahad Tahfiz Ummul Qura Lilbanat di Kampung Alor Ara, Pekan telah berjaya diselamatkan oleh Angkatan Pertahanan Awam (APM).
Pelajar-pelajar itu terpaksa dipindahkan selepas kawasan tersebut dilanda banjir akibat hujan berterusan selama beberapa hari di Pahang.
Pegawai APM Daerah Pekan Kapten (PA) Ahmad Azmi Nafiah berkata kesemua pelajar telah dibawa ke tempat selamat menaiki bot pada tengah hari.
“Kesemua pelajar dan pengurusan maahad tahfiz berkenaan telah pulang ke kediaman masing-masing,” katanya.
Beliau memaklumkan laluan menuju ke maahad tahfiz tersebut dinaiki air sedalam 1.3 meter menyebabkan pelajar terkandas.
Lima anggota APM telah digerakkan bagi melaksanakan operasi menyelamat tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Ashari Abu Samah memaklumkan tujuh jalan di sekitar daerah Kuantan ditutup kepada semua kenderaan.
Penutupan itu susulan banjir yang melanda beberapa kawasan rendah ekoran hujan lebat sejak awal pagi.
Laluan yang terjejas ialah Jalan Air Hitam dengan kedalaman air mencecah 0.6 meter.
Jalan Kampung Pasir Kemudi pula dinaiki air sedalam 1.2 meter sepanjang 1.8 kilometer.
Jalan Kampung Bukit Bangkong di perkampungan Orang Asli dinaiki air sedalam 0.9 meter.
Turut ditutup ialah Jalan Kuantan-Pekan yang tidak boleh dilalui semua kenderaan.
Jalan di hadapan Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) juga dinaiki air di kedua-dua arah.
Jalan MCKIP-Kuantan Bypass ditutup dengan kedalaman air 1.2 meter sepanjang kira-kira 100 meter.
Jalan Kuantan-Kemaman berhampiran Bukit Penggorak pula dinaiki air sedalam 0.5 meter.
Ashari berkata penutupan jalan dilaksanakan bagi mengelakkan risiko kemalangan dan ancaman keselamatan.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melalui laluan terjejas terutama di kawasan rendah dan berhampiran sungai.








