DBKL siapkan 370 petugas, pantau 15 lokasi berisiko banjir di Kuala Lumpur susulan amaran monsun dan ribut tropika daripada MetMalaysia
KUALA LUMPUR: Sebanyak 370 petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah diletakkan dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang insiden susulan amaran monsun dan kesan ribut tropika.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata 15 lokasi tumpuan berisiko banjir telah dikenal pasti dan dipantau secara berterusan sepanjang musim ini.
“Dalam tempoh cuaca yang tidak menentu, kita tidak boleh berkompromi dalam urusan keselamatan rakyat,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Beliau menerima taklimat kesiapsiagaan daripada DBKL sebelum meninjau dua lokasi berisiko tinggi di ibu negara.
Lokasi tersebut ialah kawasan tanah mendap di Jalan Masjid India dan lokasi tanah runtuh di Taman United.
Tinjauan itu turut disertai Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan Datuk Seri Noridah Abdul Rahim dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Fadlun Mak Ujud.
“Di Jalan Masjid India, saya meninjau kawasan tanah mendap yang berlaku baru-baru ini,” katanya.
Beliau telah mengarahkan DBKL melaksanakan kajian terperinci supaya kejadian serupa tidak berulang dan keselamatan kawasan sentiasa terjamin.
“Di Taman United pula, saya meninjau lokasi tanah runtuh yang berlaku ketika hujan lebat dua minggu lepas.”
Tindakan segera telah diambil termasuk pengosongan 52 unit rumah berisiko, dan kerja-kerja pembaikan dijangka siap sebelum penghujung Disember.
Dr Zaliha meminta DBKL dan agensi berkaitan melaksanakan semua tindakan dengan pantas serta melakukan penyelarasan rapi.
Komunikasi yang jelas dengan penduduk yang terlibat juga perlu dilaksanakan dengan baik. – Bernama







