Sebanyak 9,528 kes pendaftaran lewat kelahiran direkodkan di seluruh negara tahun lepas, dengan perkahwinan tidak berdaftar dan kurang pengetahuan undang-undang sebagai punca utama.
HULU SELANGOR: Sebanyak 9,528 kes pendaftaran lewat kelahiran direkodkan di seluruh negara tahun lepas.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kebanyakan kes berpunca daripada perkahwinan tidak didaftarkan dan kekurangan pengetahuan mengenai undang-undang.
Beliau berkata kegagalan mendaftar perkahwinan memberi implikasi besar kepada anak-anak apabila kelahiran mereka turut tidak didaftarkan.
Keadaan itu menyukarkan akses mereka kepada pendidikan, rawatan kesihatan dan kemudahan asas lain.
“Anak-anak ini tidak bersalah, tetapi terpaksa membesar di luar arus perdana,” katanya selepas menyerahkan sijil kelahiran kepada seorang bayi di sini.
Saifuddin berkata ada yang hanya berjaya mendapatkan dokumen pengenalan diri selepas belasan atau puluhan tahun.
Ibu bayi itu, Nur Hakikah Ismail, 24, merupakan seorang daripada tujuh beradik yang baru-baru ini menerima sijil kelahiran dan kad pengenalan.
Mereka berusia antara 17 hingga 30 tahun dan pendaftaran lewat mereka adalah susulan perkahwinan ibu bapa yang tidak didaftarkan.
Saifuddin berkata di bawah Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian, mendaftarkan kelahiran adalah tanggungjawab ibu bapa dan sesiapa yang mengetahui mengenai kelahiran itu.
Di Semenanjung Malaysia, pendaftaran perlu dibuat dalam tempoh 60 hari manakala di Sabah dan Sarawak dalam tempoh 40 hari.
Proses pendaftaran lewat disediakan bagi kes yang melepasi tempoh berkenaan.
Beliau berkata melalui proses pembetulan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan pihak berkuasa agama, anak-anak terlibat akhirnya dapat didaftarkan sebagai anak sah taraf.
Mereka juga memperoleh dokumen pengenalan diri seperti MyKad untuk menjalani kehidupan lebih teratur.
Kerajaan melaksanakan pendekatan turun padang menerusi inisiatif Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) di Sabah dan Sarawak.
Program itu menyasarkan kawasan pedalaman, rumah panjang dan penempatan sukar diakses bagi mengesan individu tanpa dokumen pengenalan diri.
“Melalui MEKAR, pegawai JPN digerakkan ke kampung-kampung dan kawasan pedalaman, bukan menunggu rakyat datang ke pejabat,” katanya.
Saifuddin berkata isu pendaftaran lewat perlu ditangani segera walaupun melibatkan angka kecil berbanding populasi negara.
Beliau menegaskan kesannya besar terhadap masa depan anak-anak.








