Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memulakan lawatan khas ke Saint Petersburg, Rusia, atas jemputan Presiden Vladimir Putin
JOHOR BAHRU: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke Saint Petersburg, Rusia bagi lawatan khas bermula hari ini hingga 27 Januari.
Baginda berangkat atas jemputan khas Presiden Rusia Vladimir Putin.
Perkara itu dimaklumkan menerusi hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim.
Pesawat khas membawa Seri Paduka Baginda berlepas dari Hangar Diraja Lapangan Terbang Antarabangsa Senai pada pukul 8.25 pagi.
Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail dan Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj turut hadir di lapangan terbang bagi mengucapkan selamat jalan.








