Ahli Parlimen PN ditahan SPRM Kedah atas siasatan rasuah projek fidlot, didakwa terima RM400,000 untuk bantu dapatkan hak guna tanah.
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah menahan seorang Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) petang semalam bagi siasatan kes melibatkan usaha sama ternakan lembu milik kerajaan negeri.
Menurut sumber, siasatan yang dijalankan sejak bulan Februari lepas itu melibatkan dakwaan penerimaan kira-kira RM400,000 sebagai balasan membantu mendapatkan hak penggunaan tanah untuk projek fidlot.
“Kertas siasatan dibuka susulan aduan diterima pada 10 Feb lepas, dan 15 saksi telah dirakam percakapan,” menurut sumber itu.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan tangkapan berkenaan dan memaklumkan individu tersebut telah dirakam percakapan mengikut Seksyen 53(3) Akta SPRM 2009 serta dilepaskan dengan jaminan.







