Timbalan PM Ahmad Zahid dan menteri ajak umat Islam hayati Israk Mikraj, peristiwa penting yang asas pensyariatan solat lima waktu.
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan beberapa menteri mengajak seluruh umat Islam menghayati peristiwa Israk Mikraj 1447H.
Ahmad Zahid berkata peristiwa agung itu mengingatkan umat Islam tentang perjalanan iman yang menuntut keyakinan, ketaatan dan keteguhan hati.
“Semoga penghayatan terhadap Israk Mikraj terus menyuburkan hubungan kita dengan Allah SWT, memperkukuh amalan solat dalam kehidupan seharian serta membimbing langkah kita ke arah kesejahteraan ummah dan kemajuan negara. Insya-Allah,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
BACA: Solat asas pembinaan keadilan, keharmonian sejagat – PM Anwar
Israk Mikraj memperingati perjalanan Nabi Muhammad SAW dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis, sebelum Baginda diangkat ke Sidratul Muntaha.
Peristiwa ini menjadi asas pensyariatan solat fardu lima waktu yang menjadi tunjang utama kehidupan umat Islam.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata Israk Mikraj bukan sekadar kisah mukjizat tetapi seruan untuk memperteguh iman, memperhalusi akhlak dan menjaga amanah.
“Israk Mikraj mengingatkan kita bahawa dalam setiap perjalanan hidup, hubungan kita dengan Allah SWT adalah kekuatan sebenar,” katanya dalam hantaran di X.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata peristiwa itu mengingatkan tentang kekuatan iman dan hubungan hamba dengan Tuhannya.
Beliau berkata daripada peristiwa itu lahir perintah solat sebagai sumber ketenangan, disiplin dan kekuatan jiwa.
“Nilai inilah yang menjadi nadi kepada seluruh lapisan rakyat, termasuk petani, penternak dan nelayan yang bekerja keras demi rezeki keluarga dan kelangsungan negara,” katanya.
Mohamad Sabu menambah peringatan Israk Mikraj diharap dapat menyatukan hati dan meneguhkan keyakinan jiwa semua rakyat. – Bernama








