Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan pemimpin dan masyarakat Islam agar sentiasa menjaga integriti serta menjauhi rasuah.
MELAKA: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan pemimpin dan masyarakat Islam agar sentiasa menjaga integriti serta menjauhi rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Beliau berkata ujian sebenar seseorang bukan ketika berdepan kesusahan, sebaliknya apabila diuji dengan kuasa, kemewahan dan jawatan.
“Kita sering berjaya apabila diuji dengan kesusahan, tetapi ramai yang gagal apabila Allah SWT memberi jawatan dan kesenangan,” katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama pelajar Kompleks Anak Yatim/Miskin Fatimah Al-Zaharah (KAYFAZ) di Bukit Katil.
Dalam konteks kepimpinan dan politik pula, beliau berkata kebijaksanaan serta akhlak yang baik perlu berjalan seiring dalam setiap pembuatan keputusan.
“Dalam kepimpinan mesti ada kebijaksanaan dan akhlak, termasuk mengetahui bila perlu bertindak dan bila perlu berdiam diri,” katanya.
Beliau turut menyeru masyarakat agar memperbanyakkan amalan kebajikan serta menyantuni golongan memerlukan sebagai asas memperoleh keberkatan dalam kehidupan.
Terdahulu, Ahmad Zahid tiba di KAYFAZ dengan menaiki motosikal berkuasa tinggi dan menyampaikan sumbangan kit makanan kepada 38 penghuni kompleks berkenaan.








