the sun malaysia ipaper logo 150x150
Tuesday, January 13, 2026
22.9 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150
spot_img

AKPS tegaskan integriti tertinggi, tiada kompromi salah guna kuasa

Ketua Pengarah AKPS seru pegawai kekal integriti tinggi, elak salah guna kuasa dan rasuah, tekankan tiada kompromi dengan sebarang salah laku.

PUTRAJAYA: Pegawai dan anggota Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) perlu mengekalkan tahap integriti tertinggi serta mengelak sebarang penyalahgunaan kuasa.

Ketua Pengarah AKPS Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata beliau tidak akan berkompromi dengan aktiviti salah guna kuasa atau rasuah yang boleh mencemarkan imej agensi dan negara.

Beliau berkata teknologi dan pengaruh media sosial kini membolehkan aktiviti tidak bermoral dikesan dan sebarang salah laku mudah didedahkan.

“Kami sentiasa mengingatkan pegawai AKPS supaya tidak terjebak dalam apa jua bentuk salah guna kuasa mahupun rasuah kerana akan sentiasa ada mata memandang.

“Sekiranya dirakam dan sebagainya, tindakan yang amat keras (akan diambil) dan seperti mana yang saya sebut, saya tidak akan berkompromi,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan watikah komander AKPS.

Mohd Shuhaily berkata setiap komander AKPS yang dilantik perlu mengambil tanggungjawab melaksanakan transformasi yang memberi impak kepada negara.

Beliau menekankan komander perlu praktikal dan pragmatik dalam penugasan serta memahami situasi di lapangan.

“Sekiranya itu berlaku, tidak ada penyelarasan, saya tidak ada langsung rasa terhalang untuk membuat pertukaran,” katanya.

Pada majlis itu, Mohd Shuhaily menyerahkan watikah pelantikan kepada tiga komander baharu AKPS.

Mereka ialah Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal sebagai Komander Pintu Masuk Pelabuhan Klang, Mohd Safrie Zakaria sebagai Komander Pintu Masuk KLIA Terminal 1, dan Farah Azura Mohd Shargawi sebagai Komander Pintu Masuk Pelabuhan Kuantan.

Mohd Shuhaily berkata pelantikan ketiga-tiga komander baharu daripada latar belakang berbeza dibuat berdasarkan kelayakan, pengalaman serta kepakaran masing-masing.

Beliau berkata susulan pewartaan penubuhan AKPS pada Oktober 2024, sebanyak 22 pintu masuk telah diwartakan di bawah kawal selia AKPS.

“Daripada jumlah tersebut sebanyak tujuh jawatan Komander Pintu Masuk telah diisi setakat tahun lepas daripada 22 perjawatan Komander Pintu Masuk,” katanya.

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories