JPSM hentikan sementara aktiviti rekreasi, pembalakan dan perladangan di hutan sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) bagi elak risiko bencana alam dan kemalangan
KEPALA BATAS: Semua aktiviti rekreasi, pembalakan dan perladangan di kawasan hutan dihentikan sementara sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL).
Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) Datuk Zahari Ibrahim berkata langkah itu bagi mengelak sebarang risiko kemalangan atau bencana alam.
Beliau menyatakan pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Meteorologi Malaysia bagi memantau keadaan cuaca semasa.
“JPSM juga menjalankan pemantauan rapi di lokasi berisiko tinggi berlaku gelongsoran tanah dan kepala air yang akan memberi kesan kepada penduduk di kawasan berhampiran hutan atau air terjun,” katanya.
MTL 2025/2026 bermula Khamis lepas dan dijangka berterusan hingga Mac tahun depan.
Dalam tempoh tersebut, lima hingga tujuh episod hujan lebat berterusan diramalkan berlaku.
Zahari berkata JPSM turut membuat pemantauan rapi menerusi Sistem Amaran Awal yang berfungsi secara automatik.
Sistem ini mengesan fenomena kepala air dalam tempoh awal untuk memberi amaran kepada orang ramai.
Sensor pada stesen kawasan yang diletakkan di hulu dan hilir sungai mengesan perubahan paras air serta kadar taburan hujan.
“Menerusi belanjawan baru-baru ini, kita dapat RM3 juta untuk memasang lebih banyak EWS di seluruh negara supaya tindakan awal dapat diambil jika berlaku kepala air,” jelasnya.
Beliau menekankan langkah ini bukan sahaja menjaga keselamatan pengunjung tetapi juga komuniti setempat.
Sementara itu, JPSM masih menunggu laporan lengkap berhubung dakwaan kegiatan pembalakan di Hutan Simpan Gunung Bongsu, Kedah.
Kegiatan tersebut didakwa menyebabkan banjir kilat di lapan kampung di Ulu Paip baru-baru ini. – Bernama






