Amerika Syarikat sedia membantu ASEAN tangani cabaran keselamatan di rantau ini terutama di Laut China Selatan, kata Menteri Pertahanan.
KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) menyatakan kesediaan untuk membantu ASEAN menangani pelbagai cabaran keselamatan di rantau ini terutama di Laut China Selatan, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata perkara berkenaan dinyatakan Setiausaha Perang AS Pete Hegseth semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN-Plus (ADMM-Plus) yang berlangsung di sini hari ini.
Mohamed Khaled berkata ASEAN mengambil maklum dan menyambut baik hasrat AS itu tetapi sebarang bentuk kerjasama mesti berpandukan kepada prinsip ASEAN serta mengekalkan komitmen berterusan terhadap keamanan dan kemakmuran di rantau ini.
“Apa-apa sahaja bentuk kerjasama mesti berasaskan kepada usaha kolektif di bawah kerangka ADMM dan ADMM-Plus.
“Kita tidak menafikan cabaran yang kita hadapi di Laut China Selatan, dan kita menghargai komitmen Amerika Syarikat untuk membantu, namun ia mesti dilakukan dalam semangat kerjasama serantau,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat itu di sini hari ini.
ADMM-Plus kali ini menghimpunkan menteri-menteri pertahanan daripada 11 negara ASEAN dan lapan rakan dialog utama, termasuk Amerika Syarikat, China, Jepun, Australia dan India, bagi membincangkan isu-isu keselamatan serantau serta kerjasama pertahanan strategik.
Menurut Mohamed Khaled, AS turut menegaskan bahawa ia akan terus memainkan peranan aktif sebagai sebuah negara di Pasifik dan menyokong usaha ASEAN untuk mengekalkan kestabilan serantau.
Sementara itu mengenai jemputan ke Pentagon oleh Hegseth, Mohamed Khaled berkata ia kemungkinan bertujuan membincangkan pelbagai aspek kerjasama pertahanan antara Malaysia dan AS, termasuk program pembangunan kapasiti serta kerjasama dalam perolehan aset ketenteraan.
Beliau berkata antara perkara akan dibincangkan termasuk keperluan mendapatkan kelulusan AS bagi komponen tertentu dalam pesawat tempur FA-50 dan pesawat rondaan maritim (MPA) Malaysia, supaya penghantaran aset dapat dilakukan mengikut jadual.
“Lawatan ke Pentagon juga memberi peluang kepada Malaysia untuk meninjau secara langsung keupayaan AS dalam aspek maritime domain awareness atau kesedaran domain maritim yang mampu mengesan aktiviti di kawasan perairan serantau.
“Kekuatan Amerika antara lain ialah dalam keupayaan memantau kawasan maritim. Kita boleh fikirkan bagaimana maklumat itu dapat dikongsi dan dimanfaatkan untuk kepentingan keselamatan negara kita,” katanya.
Mohamed Khaled turut menjelaskan bahawa undangan untuk melawat Pentagon bukan atas permintaan peribadi, sebaliknya diberikan pihak AS dan tertakluk kepada kelulusan Kabinet.
Menerusi hantaran di platform media sosial X semalam, Hegseth menyatakan beliau berbesar hati untuk menyambut kedatangan Mohamed Khaled ke Pentagon tahun depan. – Bernama










