the sun malaysia ipaper logo 150x150
Thursday, December 11, 2025
23.7 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

BAM arah pascanilai segera selepas skuad lelaki gagal rebut emas Sukan SEA

BAM arah Kenneth Jonassen dan Rexy Mainaky lakukan pascanilai menyeluruh selepas skuad badminton lelaki tewas 0-3 kepada Indonesia di final Sukan SEA 2025

BANGKOK: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengarahkan pengarah kejurulatihan perseorangan serta beregu negara Kenneth Jonassen dan Rexy Mainaky segera menjalankan penilaian menyeluruh.

Pascanilai itu bagi mengenal pasti punca aksi longlai skuad badminton lelaki negara pada final Sukan SEA Thailand 2025.

Malaysia sekali lagi kempunan pingat emas acara berpasukan lelaki selepas tewas kepada Indonesia 0-3 pada perlawanan akhir.

Perlawanan itu berlangsung di Gimnasium 4, Universiti Thammasat, Kampus Rangsit.

Kali terakhir Malaysia meraih pingat emas pada edisi 2005 di Filipina.

Setiausaha Agung BAM Datuk Kenny Goh berkata pascanilai itu perlu dijalankan segera.

Skuad negara akan berdepan kempen Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2026 (BATC) di Qingdao, China pada 3 hingga 8 Februari tahun depan.

“Pertama sekali, memang satu keputusan mengecewakan dan memang kita kena buat sesuatu yang drastik,“ katanya.

Beliau percaya kedua-dua pengarah kejurulatihan perlu kaji balik dan lakukan pascanilai.

“Lakukan pascanilai sebenarnya apa yang berlaku untuk pastikan perkara sebegini tidak berulang lagi terutamanya dalam persiapan menghadapi Kejohanan BATC pada Februari nanti,“ katanya kepada pemberita.

Kenny yang juga Timbalan Ketua Kontinjen Malaysia Sukan SEA Thailand 2025 berkata demikian ketika meninjau aksi skuad taekwondo negara.

Walaupun hampa dengan keputusan tersebut, beliau berharap agar para pemain kembali fokus dalam saingan individu.

Saingan individu bermula hari ini hingga Ahad.

BAM meletakkan sasaran empat emas pada temasya dwitahunan edisi kali ini.

Sukan SEA Thailand 2025 berlangsung dari 9 hingga 20 Disember melibatkan dua wilayah iaitu Bangkok dan Chonburi. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories