the sun malaysia ipaper logo 150x150
Thursday, December 4, 2025
26.3 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Banduan lari dari penjara Kluang ditangkap semula dalam sejam

Seorang banduan lelaki berusia 26 tahun yang melarikan diri dari penjara di Kluang berjaya ditahan semula oleh pihak berkuasa dalam tempoh kurang satu jam.

KLUANG: Polis berjaya menahan semula seorang banduan yang melarikan diri daripada tahanan dalam tempoh kurang satu jam selepas dilaporkan hilang.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrin Mohd Noh berkata pihaknya menerima laporan kejadian itu pada 4.25 petang semalam daripada seorang pegawai Penjara Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) Jalan Mersing.

“Sebaik menerima maklumat, polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang bersama Jabatan Penjara Daerah Kluang segera melancarkan operasi mengesan suspek,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata pasukan Jabatan Penjara berjaya menahan semula banduan lelaki tempatan berusia 26 tahun itu pada 5.30 petang di kawasan berhampiran reban ayam di Kampung Sri Timur.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 233 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM50,000.

Kesalahan itu juga disiasat di bawah Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda.

Terdahulu, tular di media sosial gambar seorang individu dipercayai banduan berkenaan yang didakwa melarikan diri dari penjara dan ‘dikawal’ tiga individu di sebuah kawasan ladang kelapa sawit di sekitar Kluang. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories