Bekas Panglima Tentera Darat buat laporan polis berhubung kebocoran dokumen perbankan sulit dan kenyataan fitnah di media sosial berkenaan jam tangannya.
KUALA LUMPUR: Bekas Panglima Tentera Darat Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan membuat dua laporan polis hari ini.
Laporan pertama membabitkan kebocoran dokumen sulit termasuk penyata bank dan dokumen ATM yang diklasifikasikan sebagai rahsia.
Peguamnya, Aizul Rohan Anuar berkata penyata bank dilindungi di bawah Seksyen 133 Akta Perkhidmatan Kewangan.
“Kami tidak tahu sama ada ia dibocorkan oleh pihak perbankan, sebab itu Tan Sri buat laporan untuk polis siasat siapa yang membocorkannya,” katanya.
Beliau menegaskan pihak berkuasa mempunyai akses untuk siasatan, tetapi pendedahan kepada orang awam adalah salah di sisi undang-undang.
Laporan kedua pula berhubung kenyataan fitnah oleh seorang aktivis di media sosial.
Aktivis itu mendakwa Muhammad Hafizuddeain memakai jam tangan mewah berjenama Patek Philippe.
Aizul Rohan menjelaskan jam tangan berkenaan sebenarnya adalah jam peringatan yang dikeluarkan oleh ATM.
“Jam itu ada tertera tulisan ‘Chief of Army Malaysia’. Ini contoh bagaimana perkara dimanipulasikan,” katanya.
Beliau berkata anak guamnya sedang mempertimbangkan tindakan sivil terhadap pihak yang memfitnah dan institusi perbankan terlibat.
Muhammad Hafizuddeain hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi sekitar 12.30 tengah hari.
Proses rakaman keterangan dijalankan sebaik sahaja laporan dibuat.
Jumaat lepas, beliau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Rasuah Shah Alam atas dua pertuduhan.
Beliau dituduh menerima RM145,000 wang hasil aktiviti haram.
Sehari sebelumnya, beliau juga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah Kuala Lumpur.
Beliau menghadapi empat tuduhan menerima wang haram berjumlah RM2.12 juta.








