Dadah kekal rampasan tertinggi JKDM pada 2025 dengan nilai RM478.5 juta, manakala kutipan hasil kastam melepasi sasaran dengan RM73.27 bilion.
KUALA LUMPUR: Dadah mencatatkan nilai rampasan tertinggi oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi tempoh 1 Januari hingga 30 November tahun ini, dengan nilai mencecah RM478.50 juta.
Ketua Pengarah JKDM Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata sebanyak 642 kes rampasan dadah direkodkan dengan jumlah kuantiti sebanyak 6,949.42 kilogram.
“Selain dadah, rampasan lain yang mencatat nilai tinggi ialah kenderaan, rokok, minuman keras dan bir serta mercun dan bunga api,” katanya dalam satu kenyataan.
Rampasan kenderaan melibatkan 502 kes dengan 6,475 unit bernilai RM118.37 juta serta cukai RM65.06 juta.
Rampasan rokok pula melibatkan 2,248 kes dengan 526.82 juta batang bernilai RM96.30 juta serta cukai RM364.18 juta.
Bagi minuman keras dan bir, 870 kes direkodkan dengan kuantiti 60.50 juta liter bernilai RM33.53 juta serta cukai RM86.08 juta.
Rampasan mercun dan bunga api pula melibatkan 132 kes dengan kuantiti 482,656 kg bernilai RM11.24 juta serta cukai RM10.54 juta.
Jumlah nilai keseluruhan rampasan termasuk cukai bagi tempoh tersebut ialah RM1.8 bilion.
Ini meningkat RM268.46 juta atau 17.52% berbanding RM1.53 bilion bagi tempoh sama tahun lepas.
“Peningkatan nilai rampasan itu sejajar dengan perubahan strategi penguatkuasaan JKDM yang beralih daripada pendekatan berasaskan output atau bilangan kes kepada pendekatan berasaskan outcome iaitu nilai rampasan,” jelas Anis Rizana.
Sementara itu, kutipan hasil JKDM merekodkan RM73.27 bilion setakat semalam.
Sasaran awal kutipan hasil yang ditetapkan Kementerian Kewangan bagi 2025 ialah RM67.25 bilion sebelum disemak semula kepada RM73.26 bilion pada 10 Oktober lepas.
“JKDM berjaya melepasi kedua-dua sasaran awal dan semakan semula oleh Kementerian Kewangan bagi unjuran kutipan hasil tahun 2025,” katanya.
Ini menunjukkan lebihan hasil sebanyak RM6.02 bilion atau 108.95% berbanding unjuran asal.
Beliau berkata JKDM akan terus komited memperkukuh penguatkuasaan serta meningkatkan kutipan hasil secara berterusan.








