the sun malaysia ipaper logo 150x150
Wednesday, December 24, 2025
24.2 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150
spot_img

Dos kelahiran vaksin Hepatitis B kekal dalam program imunisasi

KKM kekalkan dos kelahiran vaksin Hepatitis B dalam Program Imunisasi Kebangsaan selaras saranan WHO bagi cegah jangkitan ibu kepada bayi.

PUTRAJAYA: Dos kelahiran vaksin Hepatitis B akan terus dikekalkan dalam Program Imunisasi Kebangsaan.

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan keputusan itu dibuat selaras dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Keputusan itu diambil walaupun terdapat perkembangan terkini di Amerika Syarikat untuk menghentikan pelaksanaan universal birth dose vaksin Hepatitis B.

“Pemberian dos kelahiran vaksin Hepatitis B dalam tempoh 24 jam selepas kelahiran amat penting bagi mencegah penularan virus Hepatitis B daripada ibu kepada bayi,” menurut kenyataan KKM.

Jangkitan pada peringkat awal kehidupan berisiko tinggi menyebabkan jangkitan kronik, yang boleh membawa kepada sirosis dan kanser hati pada masa dewasa.

KKM memaklumkan pelaksanaan dos kelahiran vaksin Hepatitis B di Malaysia telah terbukti berkesan sejak 1989.

Ia berkesan dalam mengurangkan kadar jangkitan dalam kalangan kanak-kanak serta menyumbang kepada perlindungan kesihatan jangka panjang.

Langkah itu juga selaras dengan komitmen global untuk mencapai sasaran eliminasi Hepatitis B sebagai ancaman kesihatan awam menjelang 2030.

KKM menegaskan bahawa keputusan dasar imunisasi negara adalah berdasarkan bukti saintifik, data epidemiologi tempatan dan global serta pandangan pakar.

“Sebarang perubahan kepada dasar ini hanya akan dipertimbangkan sekiranya terdapat bukti kukuh dan konsensus antarabangsa yang menyokongnya,” menurut kenyataan itu.

KKM mengingatkan semua ibu bapa dan penjaga untuk memastikan bayi mereka menerima vaksin Hepatitis B dos kelahiran mengikut jadual.

Ini demi melindungi anak-anak daripada jangkitan yang boleh dicegah melalui vaksin.

“KKM akan terus memantau situasi Hepatitis B di negara ini dan memastikan pelaksanaan Program Imunisasi Kebangsaan kekal selamat, berkesan dan berasaskan bukti,” menurut kenyataan itu.

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories