the sun malaysia ipaper logo 150x150
Monday, June 29, 2026
26.4 C
Kuala Lumpur
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Dr Zaliha: Tiada kes baharu penyakit Nipah dikesan sejak wabak berakhir 1999

PUTRAJAYA: Tiada kes baharu penyakit Nipah dalam kalangan manusia di negara ini sejak kes terakhir penyakit itu dikesan di Malaysia pada 27 Mei 1999, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

Katanya selepas wabak Nipah di Malaysia pada 1998-1999, Kementerian Kesihatan (KKM) meneruskan kerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) bagi perkongsian maklumat survelan virus Nipah dalam kalangan haiwan liar dan haiwan domestik.

“Sehingga kini, tiada sampel haiwan yang ditemui positif virus Nipah. Malaysia telah diisytiharkan bebas penyakit Nipah pada 2001 oleh Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (WOAH),“ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi memaklumkan situasi terkini penyakit Nipah di Malaysia memandangkan terdapat pelbagai maklumat di media massa berhubung kejadian wabak penyakit Nipah di India pada ketika ini.

Dr Zaliha berkata penyakit Nipah pertama kali dikesan dalam kalangan manusia di Malaysia antara September 1998 hingga Mei 1999 yang berlakunya wabak melibatkan 265 kes termasuk 105 kematian dan sejak itu survelan dan pemantauan dijalankan dalam kalangan manusia melalui pengesanan kes secara pasif.

Katanya survelan bagi kes keradangan pada otak (encephalitis) juga telah dijalankan iaitu sampel diambil bagi ujian patogen yang menyebabkan encephalitis termasuk virus Nipah dan virus Japanese encephalitis.

Dr Zaliha menjelaskan penyakit Nipah adalah penyakit zoonotik yang disebabkan oleh virus Nipah yang disebarkan dari haiwan kepada manusia dan ia boleh mengakibatkan komplikasi encephalitis serta penyakit saluran pernafasan dengan kadar kematian 40 peratus ke 70 peratus dalam kalangan manusia yang dijangkiti.

Beliau berkata keluang daripada keluarga pteropodidae merupakan perumah semula jadi bagi virus Nipah dan sebaran virus itu kepada perumah intermediate iaitu khinzir adalah melalui sentuhan langsung atau melalui makanan yang tercemar dengan najis, air kencing dan air liur keluang.

“Jangkitan pada manusia pula berlaku akibat sentuhan langsung dengan khinzir yang dijangkiti atau darah, cecair atau rembesan khinzir tersebut.

“Ia juga boleh berlaku melalui pengambilan makanan seperti buah-buahan dan minuman seperti nira pokok seperti pokok kurma, pokok kelapa atau pokok nipah yang tercemar dengan air liur atau cecair badan kelawar yang dijangkiti,“ katanya.

Dr Zaliha berkata jangkitan antara manusia ke manusia boleh berlaku melalui sentuhan langsung dengan rembesan seperti darah, cecair badan dan rembesan pernafasan manusia yang dijangkiti manakala tempoh inkubasi penyakit Nipah adalah antara lima ke 14 hari dan gejala termasuk demam, sakit kepala, muntah, batuk, susah bernafas, sawan, kekeliruan dan kebingungan.

Katanya penyakit Nipah yang wajib dinotifikasi di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) boleh menyebabkan komplikasi encephalitis, penyakit saluran pernafasan serta kematian.

Bagi mencegah jangkitan penyakit Nipah, Dr Zaliha berkata orang awam terutama pengembara yang mengunjungi kawasan berisiko tinggi yang wabak Nipah sedang berlaku, dinasihatkan agar sentiasa mengambil langkah pencegahan.

Antaranya amalkan mencuci tangan dengan kerap menggunakan sabun dan air, elakkan sentuhan dengan keluang atau khinzir terutama yang sakit, elakkan berada dalam kawasan yang keluang diketahui berkumpul atau tinggal.

Katanya orang awam juga perlu elak pengambilan buah-buahan dan nira contohnya pokok kurma, pokok kelapa atau pokok nipah yang disyaki tercemar dengan air liur atau cecair badan keluang, serta elakkan sentuhan langsung dengan rembesan orang yang dijangkiti penyakit Nipah.

Sementara itu, Dr Zaliha berkata pengembara yang pulang ke Malaysia dari negara yang berisiko tinggi jangkitan penyakit Nipah dinasihatkan untuk melakukan pemantauan kendiri tanda dan gejala jangkitan virus Nipah selama 14 hari.

Katanya sekiranya bergejala, beliau menasihatkan individu itu supaya elakkan kontak dengan orang lain dan segera dapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran.

Dr Zaliha berkata KKM akan sentiasa memantau kejadian penyakit Nipah di luar negara dan akan meningkatkan kesiapsiagaan terhadap penyakit Nipah dengan kerjasama pelbagai agensi berkaitan.-Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

World’s First Commercial Multimodal LLM for Cultural Tourism Enters Broad Application

XI'AN, CHINA - Media OutReach Newswire - 29 June 2026 - The world's first commercial multimodal large language model (LLM) for cultural tourism, called BoGuan, has entered broad application in Xi'an, China.

Hainan FTP marks 6-month milestone of special customs operations, signs deals during Hong Kong...

HONG KONG SAR - Media OutReach Newswire - 29 June 2026 - As the Hainan Free Trade Port (FTP) marked the six-month milestone since the launch of its full special customs operations, a Hainan provincial delegation wrapped up a three-day visit to Hong Kong.

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings