Wednesday, October 29, 2025
26.8 C
Malaysia
spot_img

Dua lelaki didakwa ganggu rangkaian telekomunikasi dengan peralatan tidak sah

The Sun Webdesk

Dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan guna peralatan komunikasi tidak diperakui dan sebab gangguan rangkaian.

SHAH ALAM: Dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan peralatan komunikasi tidak diperakui dan menyebabkan gangguan kepada rangkaian telekomunikasi.

Kedua-dua tertuduh Ling Siew Lung, 46, dan Look Voon How, 47, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Nor Hasniah Ab Razak.

Look didakwa menggunakan kelengkapan komunikasi tidak diperakui iaitu satu set GSM Module tanpa jenama di tempat letak kereta hadapan restoran makanan segera di Subang Jaya pada 19 November 2024.

Pertuduhan pertama dikemukakan bawah Peraturan 16(1)(b) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.

Kesalahan itu membawa hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Look juga berdepan pertuduhan kedua kerana sengaja menggunakan radas sama sehingga menyebabkan gangguan elektromagnetik yang menjejaskan perkhidmatan rangkaian syarikat telekomunikasi.

Kesalahan kedua didakwa bawah Peraturan 34(5)(c) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Spektrum) 2000 dengan hukuman serupa.

Sementara itu, Ling didakwa bersubahat dengan Look bagi melakukan dua kesalahan sama di tempat, tarikh dan masa yang sama.

Hakim Nor Hasniah membenarkan Look dan Ling masing-masing diikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 9 Disember ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Fadhli Ab Wahab.

Kedua-dua tertuduh masing-masing diwakili peguam Kee Wei Lon dan Jonas Ee Gen You. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories

spot_imgspot_img