Pemandu dan kelindan lori maut dalam kemalangan tiga kenderaan berat di Lebuhraya PLUS arah Selatan berhampiran Pagoh pagi tadi.
MUAR: Dua individu maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan berat di Lebuhraya Utara-Selatan pagi tadi.
Kemalangan berlaku di KM129.9 PLUS arah Selatan berhampiran Pagoh kira-kira jam 6 pagi.
Mangsa berusia 23 dan 24 tahun tersepit dalam kenderaan dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata siasatan awal mendapati treler pertama dilanggar di bahagian belakang oleh treler kedua.
“Lori mangsa yang berada di laluan sama pula gagal mengelak dan merempuh bahagian belakang treler kedua,” katanya.
Treler kedua terbabas ke bahagian longkang di kiri jalan selepas dihentam.
Pemandu treler pertama tidak cedera dalam kejadian itu.
Seorang lagi pemandu cedera ringan dan menerima rawatan di Klinik Kesihatan Yong Peng.
Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.







