EAIC sokong penuh pendekatan tegas PM Anwar, tegaskan syor hukuman tatatertib mesti dipatuhi untuk pulih kepercayaan rakyat
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) menyokong sepenuhnya ketegasan yang disuarakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kerajaan tidak lagi boleh bertolak ansur dengan kelemahan penguatkuasaan dan tadbir urus yang gagal ditangani secara serius.
Pengerusi EAIC Tan Sri Dr Ismail Bakar dalam satu kenyataan hari ini berkata suruhanjaya itu memandang serius peringatan berkenaan, yang disifatkan sejajar dengan pemantauan dan siasatan EAIC terhadap salah laku dalam kalangan agensi penguatkuasaan.
“Ia termasuk penyalahgunaan kuasa serta kelemahan dalam ekosistem tadbir urus dan integriti perkhidmatan awam, khususnya melibatkan agensi penguatkuasaan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata EAIC menegaskan bahawa syor hukuman tatatertib yang dikemukakan suruhanjaya, termasuk cadangan penambahbaikan sistem serta mekanisme prosedur dalaman, hendaklah diberi perhatian serius dan dipatuhi sepenuhnya.
“EAIC akan turut merujuk semula kes-kes tatatertib yang tidak atau belum diambil tindakan kepada Pihak Berkuasa Tatatertib (PBT) berkaitan dan memanjangkannya kepada ketua perkhidmatan berkenaan untuk tindakan segera.
“Tindakan tegas serta pematuhan oleh ketua-ketua jabatan merupakan kunci utama dalam memperkukuh integriti penguatkuasaan dan memulihkan kepercayaan rakyat terhadap institusi negara,” katanya.
Ismail berkata aktiviti penyeludupan, rasuah dan kegiatan gelap bukan sahaja menjejaskan kredibiliti agensi, malah merupakan satu pengkhianatan terhadap kepentingan rakyat dan negara serta tidak boleh diterima atau dinormalisasikan dalam apa jua keadaan.
Semalam, Perdana Menteri memberi amaran bahawa kerajaan tidak lagi boleh bertolak-ansur dengan kelemahan penguatkuasaan dan tadbir urus yang tidak ditangani dengan serius.
Selain itu, Anwar turut memberi tempoh seminggu kepada pimpinan tertinggi pasukan penguat kuasa untuk mengesahkan kesediaan mereka memikul amanah dan tanggungjawab atau memilih untuk bertukar ke jawatan lain.








