the sun malaysia ipaper logo 150x150
Thursday, December 11, 2025
23.7 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Harimau Muda tunduk 0-2 kepada Vietnam

BANGKOK: Harapan Malaysia untuk mengesahkan kemaraan awal ke separuh akhir tidak kesampaian selepas tunduk 0-2 kepada Vietnam pada aksi terakhir Kumpulan B saingan bola sepak lelaki Sukan SEA Thailand 2025 di Stadium Nasional Rajamangala di sini, hari ini.

Vietnam membuka tirai jaringan pada minit ke-11 menerusi tandukan Nguyen Hieu Minh yang menyempurnakan hantaran lambung Nguyen Dinh Bac dari sebelah kiri.

Juara edisi 2019 dan 2021 itu menggandakan kedudukan pada minit ke-22 selepas Pham Minh Phuc melepaskan rembatan jarak dekat yang gagal disekat pertahanan Malaysia.

Skuad Harimau Muda cuba bangkit dengan permainan lebih kemas pada separuh masa kedua, namun beberapa peluang yang terhidang gagal dimanfaatkan dengan baik sebelum kedudukan 0-2 kekal sehingga wisel penamat.

Kekalahan itu menyaksikan anak buah Mohd Nafuzi Zain menamatkan saingan kumpulan di tempat kedua dengan tiga mata, manakala Vietnam muncul juara dengan enam mata untuk mengesahkan slot automatik ke separuh akhir.

Malaysia yang kini mengharapkan tiket ke separuh akhir melalui slot naib juara terbaik, perlu menunggu keputusan perlawanan terakhir Kumpulan C antara Indonesia dan Myanmar esok.

Filipina menjadi satu-satunya pasukan yang telah mengesahkan tempat ke separuh akhir selepas meraih dua kemenangan untuk menjuarai Kumpulan C.

Sebagai rekod, Malaysia terkandas seawal peringkat kumpulan pada edisi 2023 di Kemboja selepas tewas dalam aksi penentuan pingat gangsa pada edisi 2021 di Hanoi.

Kali terakhir skuad negara menaiki podium ialah ketika memenangi pingat perak pada edisi 2017 di Kuala Lumpur.

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories