Ismanira Abdul Manaf rayu hukuman penjara lima tahun, dakwa pendakwaan tersalah arah pertuduhan dan hakim tolak keterangan pakar pembelaan
SHAH ALAM: Ibu Zayn Rayyan Abdul Matin (gambar) telah memfailkan petisyen rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadapnya kerana mengabaikan kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu sehingga menyebabkan kecederaan fizikal, tiga tahun lepas.
Peguam Haresh Mahadevan, yang mewakili Ismanira Abdul Manaf, 31, berkata petisyen itu difailkan pada Isnin lepas di Mahkamah Tinggi di sini.
Beliau berkata tindakan itu diambil antara lain atas alasan pihak pendakwaan tersalah arah dalam mengemukakan pertuduhan di bawah Seksyen 31 berbanding Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001.
“Walaupun perayu didakwa di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 atas kesalahan pengabaian, Mahkamah Sesyen mensabitkan perayu berdasarkan kegagalan memberi pengawasan munasabah.
“Ia sebenarnya merupakan kesalahan berasingan di bawah Seksyen 33 dengan elemen dan hukuman yang berbeza… oleh itu, perayu telah disabitkan atas kesalahan yang tidak pernah dipertuduhkan,” katanya ketika dihubungi media.
Menurut petisyen itu, Hakim Mahkamah Sesyen juga telah tersalah arah apabila menolak keterangan SD5, seorang pakar pembelaan yang berkelayakan, hanya kerana beliau tidak memeriksa kanak-kanak tersebut sedangkan pihak pendakwaan sendiri bergantung kepada pandangan pakar yang tidak dipanggil dan juga tidak pernah memeriksa kanak-kanak itu.
Petisyen itu mendakwa penolakan itu bersifat arbitrari, tidak seimbang dan merupakan salah arah yang serius dalam penilaian keterangan pakar.
Sebelum ini, Ismanira memfailkan notis rayuan menerusi Tetuan Haresh Mahadevan & Co selepas tidak berpuas hati terhadap sabitan dan keseluruhan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya Dr Syahliza Warnoh pada 31 Okt 2025.
Syahliza membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan dan memerintahkan Ismanira menjalani hukuman penjara serta-merta selain menandatangani bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan seorang penjamin dan cagaran RM3,000.
Ismanira turut diarah menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam yang perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.
Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.








