Polis masih belum kenal pasti identiti mayat wanita dalam beg di Rembau, dua suspek ditahan, kes disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan
SEREMBAN: Identiti sebenar mayat seorang wanita yang ditemui dalam beg di Rembau masih belum dapat dipastikan.
Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan SAC Muhammad Idzam Jaafar berkata keadaan itu berikutan jasad mangsa yang sudah mereput dan dipercayai meninggal dunia melebihi tiga hari.
“Kita telah mengambil sampel asid deoksiribonukleik (DNA) yang dipercayai milik keluarga mangsa dan proses mendapatkan keputusannya akan mengambil masa,” katanya.
Bedah siasat telah dijalankan di Hospital Rembau, namun punca kematian diklasifikasikan sebagai ‘undetermined’ berikutan keadaan jasad.
Dua suspek telah ditahan setakat ini bagi membantu siasatan.
Suspek utama berusia 51 tahun ditahan di Genting Sempah, Pahang pada petang tadi.
Tangkapan pertama telah dibuat di Melaka semalam.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – Bernama








