Kerajaan lanjutkan jajaran LRT Pulau Pinang ke Seberang Perai bagi pastikan pembangunan seimbang, sambung ke Penang Sentral.
BUKIT MERTAJAM: Kerajaan Persekutuan melanjutkan jajaran projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang hingga ke Seberang Perai bagi memastikan pembangunan negeri itu seimbang.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau sendiri membuat keputusan itu selepas meneliti cadangan asal yang hanya melibatkan kawasan di pulau.
“Mereka tanya mengapa kos LRT Pulau Pinang terlalu mahal dan mengapa harga itu bertambah. Apabila dibentang kepada saya oleh kerajaan negeri, projek LRT itu hanya di pulau dan saya sebagai anak Pulau Pinang dan dibesarkan di Seberang Perai, tidak mahu projek itu tersekat di situ,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa beliau sendiri mencadangkan supaya LRT menyeberang lautan sampai ke Seberang Perai dan projek itu akan sampai ke Penang Sentral.
BACA: Proses tender LRT Pulau Pinang masih berjalan, tiada perubahan spesifikasi – Loke
Anwar berkata pembinaan jajaran ke Seberang Perai memastikan kawasan seperti Permatang Pauh, Bagan dan Nibong Tebal turut menikmati manfaat sistem pengangkutan moden itu.
Beliau menolak dakwaan pihak tertentu mengenai kos projek meningkat kerana faktor tidak menentu.
LRT Mutiara Line merupakan laluan LRT pertama di luar Lembah Klang yang melibatkan pembinaan laluan sepanjang 29.5 kilometer dengan 21 stesen strategik.
Jajaran itu direka untuk meningkatkan keterhubungan antara Pulau Pinang dan tanah besar sekali gus mengurangkan kesesakan jalan raya.
Pelan jajaran utama merangkumi laluan dari Pulau Tambakan Selatan Pulau Pinang ke Penang Sentral dan Stesen Komtar di Georgetown.
Anwar turut menggesa semua pihak mempercepat pelaksanaan projek peningkatan infrastruktur di negara ini termasuk Penyuraian Trafik antara Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Sungai Dua.
Projek yang bernilai RM3 bilion dijangka dapat memendekkan masa perjalanan dari satu jam kepada 20 minit semasa waktu puncak.
Ia juga akan mengurangkan kesesakan trafik apabila 30% pengguna beralih ke laluan terus Juru-Sungai Dua. – Bernama









