the sun malaysia ipaper logo 150x150
Wednesday, December 3, 2025
28.3 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Jalan Gua Musang-Lojing ditutup sepenuhnya akibat tanah runtuh

Jalan Gua Musang-Lojing FT185 ditutup sepenuhnya selepas tanah runtuh, menyebabkan seorang remaja cedera dalam kemalangan di lokasi terbabit.

GUA MUSANG: Jalan Gua Musang-Lojing FT185 di Seksyen 107.6 berhampiran Pos Blau ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan mulai hari ini.

Penutupan itu berikutan kejadian tanah runtuh di lokasi tersebut.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Gua Musang memaklumkan penutupan itu berkuat kuasa sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

BACA: Penduduk Gua Musang diminta bersiap siaga hadapi risiko banjir

Tempoh penutupan adalah untuk memberi ruang kepada kerja keselamatan dan pemulihan di lokasi kejadian.

Pengguna jalan raya dinasihatkan menggunakan laluan alternatif sementara waktu.

Pengguna dari Gua Musang yang menuju ke Tanah Tinggi Cameron Highlands, Pahang, boleh menggunakan laluan Sungai Koyan-Ringlet-Cameron Highlands.

Bagi perjalanan ke Ipoh, Perak, laluan Gua Musang-Sungai Koyan-Ringlet-Tapah-Ipoh disediakan sebagai alternatif.

JKR turut mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika memandu.

Orang ramai juga diminta mematuhi semua papan tanda keselamatan di laluan terlibat.

Sementara itu, seorang remaja lelaki cedera selepas kenderaannya tergelincir ke dalam gaung di lokasi tanah runtuh awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata mangsa berusia 19 tahun itu memandu Proton Satria Neo dari Cameron Highlands menuju ke Pasir Puteh.

Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira pukul 5 pagi.

“Selepas pemandu melepasi kira-kira satu kilometer penghadang penutupan jalan akibat tanah runtuh dan tiba di lokasi, kenderaannya tergelincir ke dalam gaung,” katanya.

Mangsa mengalami kecederaan patah tangan kiri dan dibawa dengan ambulans ke Klinik Kesihatan Pos Brooke.

Menurut Sik, kemalangan berlaku kerana pemandu melalui jalan yang telah ditutup dan memasuki kawasan tanah runtuh.

“Polis menasihati orang awam supaya mematuhi sepenuhnya arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini,” katanya. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories