Jabatan Imigresen Malaysia menahan seorang lelaki tempatan yang disyaki menjadi ‘carrier’ untuk membawa masuk warga asing secara tidak teratur di KLIA Terminal 2.
PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai bertindak sebagai ‘carrier’ untuk membawa masuk warga asing secara tidak teratur di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata lelaki itu dikesan cuba membawa masuk seorang lelaki warganegara Saint Kitts and Nevis serta seorang wanita warganegara China.
Penahanan tersebut adalah hasil risikan selama dua minggu terhadap aktiviti yang dipercayai telah dijalankan sejak tiga bulan lepas.
Operasi yang bermula 6.40 petang itu melibatkan sepasukan pegawai daripada Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen dengan kerjasama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).
Zakaria berkata suspek selaku carrier dipercayai membawa migran ke kaunter yang telah ditetapkan dan memberi arahan berhubung laluan perlu digunakan bagi memudahkan migran melepasi pemeriksaan.
“Carrier memberi arahan kepada migran berkaitan laluan akan digunakan, ke kaunter telah ‘disediakan’ berserta lakaran atau gambaran kedudukan kaunter yang akan digunakan,” katanya.
Beliau berkata pihaknya mengesyaki aktiviti tersebut turut melibatkan pegawai bertugas di kaunter pemeriksaan yang bersekongkol.
Pegawai terbabit telah dimaklumkan lebih awal mengenai pergerakan masuk migran melalui aplikasi WhatsApp.
Carrier tersebut menghantar gambar pakaian migran bagi memudahkan pegawai mengenal pasti migran yang akan dilepaskan.
“Carrier memerhati daripada jauh pergerakan migran melepasi kaunter sebelum bergerak ke kaunter pemeriksaan lain setelah migran berjaya melepasi kaunter pemeriksaan imigresen,” katanya.
Carrier dan migran akan berjumpa semula di pintu balai ketibaan dan bergerak bersama-sama untuk keluar dari kawasan KLIA T2.
Carrier hanya menggunakan isyarat tangan kepada migran bagi mengaburi pihak berkuasa.
Dalam kes ini, pihaknya mendapati kedua-dua warga asing dibawa carrier terbabit mempunyai Pas Lawatan Sosial yang masih sah laku.
Kesemua suspek, carrier dan dua warga asing itu yang berusia 25 hingga 34 tahun ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(1)(f) dan Seksyen 56(1A)(a) Akta Imigresen 1959/63.
JIM menyita satu pasport China, satu pasport Saint Kitts and Nevis, satu pasport Malaysia, cap keselamatan imigresen, telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM23,100.
Zakaria berkata tiga lelaki dan seorang wanita tempatan turut diberikan notis untuk hadir membantu siasatan.







