Pusat Berbasikal Dunia di Johor diiktiraf sebagai Pusat Satelit UCI pertama di Asia Tenggara, bakal jadi hab pembangunan atlet muda serantau
ISKANDAR PUTERI: Pengiktirafan rasmi Pusat Berbasikal Dunia (WCC) Satelit Pembangunan Wilayah (RDS) di sini sebagai Pusat Satelit Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) pertama di Asia Tenggara merupakan pencapaian penting bagi pembangunan sukan berbasikal.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata pusat satelit UCI itu juga merupakan yang keempat di Asia selepas Korea Selatan, China dan Jepun.
“Hanya terdapat 11 pusat satelit seperti ini di seluruh dunia dan Malaysia kini turut tersenarai,” katanya selepas majlis pelancaran WCC RDS di Velodrom Johor.
Beliau berkata penubuhan pusat satelit itu akan mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam arena sukan berbasikal serantau.
Dengan pengiktirafan ini, Yeoh berharap ia membuka lebih banyak peluang untuk sokongan geran daripada UCI, Kerajaan Malaysia dan Johor.
Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Amarjit Singh Gill berkata WCC ditubuhkan untuk membangunkan atlet muda dalam acara BMX dan berbasikal trek.
Beliau berkata WCC RDS dijangka berfungsi sebagai hab untuk membimbing atlet muda di seluruh Asia Tenggara.
“Kami akan bekerjasama dengan jurulatih WCC di Switzerland dan pakar-pakar lain untuk membimbing seberapa ramai atlet yang mungkin,” katanya.
Pusat satelit ini dirancang untuk menyokong Malaysia dan negara-negara ASEAN seperti Singapura, Indonesia, Thailand dan Brunei.
Ini membolehkan latihan bersama, perkongsian ilmu dan pembangunan bakat berbasikal serantau.
Presiden UCI David Lappartient berkata kesatuan itu berharap untuk terus mengembangkan sukan berbasikal di seluruh dunia.
“Kami mempunyai 206 persekutuan kebangsaan yang bernaung di bawah UCI,” katanya.
Beliau menekankan keperluan mengekalkan ciri universal dalam sukan ini di semua disiplin.
Inilah sebabnya UCI ingin membina rangkaian pusat satelit yang besar di seluruh dunia. – Bernama







