JPJ Melaka periksa 8,180 kenderaan, ambil tindakan ke atas 1,285 kenderaan dan keluarkan 1,877 notis saman dalam operasi bersepadu tahun ini
MELAKA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka memeriksa 8,180 kenderaan dalam enam siri operasi bersepadu utama yang dijalankan sepanjang tahun ini.
Pengarah JPJ Melaka Siti Zarina Mohd Yusop berkata operasi itu melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan bagi memperkukuh tindakan dan memastikan keberkesanannya.
“Sebanyak 1,285 kenderaan diambil tindakan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan sebanyak 1,877 notis saman dikeluarkan JPJ,” katanya.
Beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan 194 notis atas pelbagai kesalahan teknikal dan trafik.
“PDRM juga menahan seorang pemandu mabuk melebihi bacaan alkohol yang ditetapkan,” tambahnya selepas operasi bersepadu di Limbongan.
Siti Zarina berkata Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menjalankan saringan terhadap 814 individu.
“18 daripadanya disahkan positif dadah, membabitkan 16 positif methamphetamine serta masing-masing seorang positif ganja dan heroin,” ujarnya.
Dalam operasi bersepadu malam tadi bersama PDRM dan AADK, sebanyak 745 kenderaan diperiksa.
“Dua motosikal disita kerana tidak memperbaharui cukai jalan lebih tiga tahun manakala satu lagi ditunggang warga asing tidak memiliki lesen memandu sah,” katanya.
Sebanyak 72 kenderaan diambil tindakan serta 193 notis saman dikeluarkan JPJ dalam operasi tersebut.
AADK turut menyaring 23 individu namun tiada yang dikesan positif dadah.
Sementara itu, JPJ melaksanakan pengurangan bayaran saman sebanyak 50% bagi saman yang boleh dikompaun mulai 1 November hingga 30 Disember.
“Hingga 11 November, sebanyak 1,392 transaksi saman dijelaskan dengan jumlah kutipan hasil sebanyak RM180,160,” kata Siti Zarina. – Bernama






