KPM utamakan kanak-kanak B40 dalam peluasan kelas prasekolah percuma, rancang tambah 350 kelas pada 2026 bagi tingkat akses pendidikan awal.
KUALA LUMPUR: Kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah B40 diberi keutamaan dalam kemasukan ke kelas prasekolah Kementerian Pendidikan.
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata perkara itu selari dengan komitmen kementerian untuk memperluas pendidikan prasekolah percuma bagi mengelakkan keciciran kanak-kanak pada peringkat awal.
“KPM komited dalam memastikan lebih ramai kanak-kanak mendapat akses pendidikan prasekolah percuma,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan mengenai kecukupan akses pendidikan awal berkualiti khususnya bagi keluarga berpendapatan rendah.
Wong berkata peluasan prasekolah dilaksanakan setiap tahun terutama di lokasi yang mempunyai permintaan tinggi.
“Pada 2025, KPM telah melaksanakan peluasan sebanyak 150 kelas prasekolah dan pada 2026, peluasan dijangka sebanyak 350 kelas,” katanya.
Jumlah kelas prasekolah sedia ada ketika ini ialah 10,514 buah dan sedang beroperasi di 6,469 sekolah atau institusi pendidikan di seluruh negara.
Peluasan kelas prasekolah turut diperluas ke sekolah menengah, kolej vokasional, kolej matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru.
Menurut Wong, setakat ini terdapat 214,122 guru prasekolah sedang mengikuti kelas prasekolah di institusi pendidikan di bawah KPM.
Menjawab soalan tambahan berhubung kesiapsiagaan fasiliti dan tenaga pendidik, beliau berkata bagi jangka masa pendek, pembinaan bangunan baharu akan dilaksanakan menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri.
Bagi keperluan tenaga pendidik pula, Wong berkata KPM akan melaksanakan pengambilan khas guru bersama dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan sebagai langkah segera.
“Berkenaan dengan fasiliti, kemudahan sedia ada di sekolah akan diguna pakai dan dioptimumkan,” katanya.
Untuk perancangan jangka masa panjang, pengambilan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan dan Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan juga akan bertambah.








