Kementerian Komunikasi akan fokus kepada keselamatan internet dan penyampaian maklumat kerajaan yang lebih berkesan pada 2026, selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI.
PUTRAJAYA: Kementerian Komunikasi akan menumpukan usaha memperkukuh keselamatan internet dan memperbaiki penyampaian maklumat kerajaan pada 2026.
Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil, berkata Kempen Internet Selamat 2.0 akan dilaksanakan dalam skala besar melalui jelajah ke seluruh negara.
Kempen itu akan menyasarkan kanak-kanak, remaja, ibu bapa dan masyarakat untuk memberikan kefahaman menyeluruh mengenai keselamatan digital.
“Kita perlu faham segmen sasaran, platform yang mereka guna dan bentuk penyampaian yang paling sesuai,” katanya dalam temu bual khas bersama Bernama.
Beliau berkata kementerian juga akan memfokuskan kepada perlindungan pengguna melalui pengoperasian Sistem PRIME MCMC dan pembangunan Sistem Alamat Nasional (NAS).
Fahmi berkata 2025 menyaksikan beberapa pencapaian penting termasuk pindaan kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang berkuat kuasa pada 7 Februari lalu.
Pindaan itu membolehkan tindakan lebih tegas terhadap penyalahgunaan rangkaian seperti buli siber, penipuan dalam talian, doxing dan akaun palsu.
Beliau mengakui kematian pempengaruh media sosial, A Rajeswary atau Esha, pada Julai 2024 akibat buli siber sebagai detik paling menyedihkan sepanjang tempoh perkhidmatannya.
“Malangnya, ia mengambil satu kehilangan nyawa untuk sistem berubah. Tetapi kini kita ada pindaan Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan yang mempunyai satu fasal khusus dinamakan ‘Fasal Esha’,” katanya.
Fahmi turut menyentuh langkah melesenkan platform media sosial dan perkhidmatan pemesejan Internet yang bermula 1 Januari 2025.
“Kita lihat ada platform yang setuju dan patuh, ada juga yang berdegil. Tetapi kerajaan perlu tegas demi keselamatan rakyat,” katanya.
Mengenai cabaran komunikasi semasa, Fahmi berkata kajian mendapati Gen Z dan Gen Alpha banyak memperoleh maklumat melalui platform seperti WhatsApp, TikTok dan Facebook.
Namun, mereka masih meletakkan kepercayaan tinggi terhadap berita yang disiarkan di televisyen, radio dan akhbar.
“Ini satu keadaan yang unik. Mereka jarang menonton televisyen, tetapi apabila menonton berita di televisyen, mereka percaya,” katanya.
Mengimbas 2025, Fahmi menyifatkan tahun ini sebagai tempoh yang sibuk dan mencabar, khususnya dengan Kepengerusian ASEAN.
Antara pencapaian yang paling membanggakan beliau ialah penubuhan Majlis Media Malaysia selepas lebih lima dekad diperjuangkan.
Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia (MMM) 2024 pada 26 Februari lalu sebelum diwartakan sebagai akta pada 13 Jun.
Fahmi berkata Buku 3 Tahun Pencapaian Kementerian Komunikasi juga dikeluarkan, yang merumuskan usaha bersepadu kementerian.
Dari sudut infrastruktur, beliau menekankan peluasan liputan Internet dan 5G melalui Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).
Mengenai impak langsung kepada rakyat, Fahmi berkata inisiatif seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) meninggalkan kesan mendalam.








