the sun malaysia ipaper logo 150x150
Thursday, December 18, 2025
25.3 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150
spot_img

Kerajaan kekal subsidi bahan api BUDI 95, tiada rebat tunai untuk galak EV

Kerajaan tidak rancang ganti subsidi bahan api BUDI 95 dengan rebat tunai untuk galak EV, kekal fokus kepada sasaran bantu golongan memerlukan

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang menggantikan subsidi bahan api di bawah skim BUDI 95 dengan rebat tunai sebagai insentif untuk menggalakkan peralihan kepada kenderaan elektrik atau hibrid.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata langkah itu akan mengubah tujuan asal pelaksanaan BUDI95 dan berpotensi menjejaskan keberkesanan penyasaran subsidi.

“Objektif utama BUDI95 adalah beralih daripada subsidi pukal kepada subsidi bersasar dan memastikan bantuan bahan api terus disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” katanya di Dewan Negara.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Dr Lingeshwaran R. Arunasalam mengenai keberkesanan kuota 600 liter dalam menggalakkan peralihan kepada kenderaan elektrik.

Amir Hamzah menegaskan BUDI95 bukan bertujuan untuk menggalakkan peralihan pemandu kepada EV atau hibrid.

Keberkesanan pelaksanaan BUDI95 dinilai berdasarkan keupayaannya mengurangkan ketirisan dan melindungi kumpulan sasaran.

Dasar peralihan kepada EV dan hibrid ditangani melalui rangka kerja dan inisiatif berasingan termasuk pembangunan infrastruktur pengecasan.

“Pendekatan ini bertujuan memastikan setiap dasar mencapai objektif masing-masing tanpa bercanggah antara satu sama lain,” jelasnya.

Berdasarkan data Disember 2025, lebih 106,000 atau 65% daripada kira-kira 164,000 pemandu e-hailing berdaftar layak menikmati subsidi BUDI 95.

Mereka layak menerima subsidi pada kadar sekurang-kurangnya 600 liter hingga 800 liter.

Jarak perjalanan bulanan setiap pemandu e-hailing akan ditentukan berdasarkan penggabungan data perjalanan daripada semua pengendali e-hailing.

Pengesahan data dikendalikan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan di Sabah dan Sarawak.

Hanya pemandu warganegara Malaysia yang memiliki Lesen Memandu Perkhidmatan Awam dan permit e-hailing yang sah akan dipertimbangkan bagi kelayakan subsidi.

Bagi mengelak ketirisan subsidi kepada pemandu yang tidak aktif atau tidak sah, semua pengendali e-hailing diwajibkan mengemukakan rekod perjalanan bulanan yang tepat.

Rekod lengkap dan sahih perlu diserahkan kepada APAD dan LPKP pada awal setiap bulan.

Pemandu yang tidak mencatatkan aktiviti perjalanan minimum berdasarkan jarak yang ditetapkan tidak akan menerima kelayakan tambahan secara automatik.

Amir Hamzah menegaskan tindakan penguatkuasaan boleh diambil terhadap pemandu atau pengendali yang didapati mengemukakan maklumat palsu. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

A Culinary Tribute to Composites by One MICHELIN Star, GOAT for Michelin Asia Pacific Media Day 2025

BANGKOK, THAILAND - Media OutReach Newswire - 18 December 2025 - As part of the Michelin Beyond Performance, Asia Pacific Media Day 2025, Michelin hosted an exclusive dinner experience that brought together culinary artistry and technological inspiration.
spot_img

Popular Categories