PM Anwar tekad laksana titah Agong Sultan Ibrahim dengan tegas, fokus perangi rasuah dan keutamaan rakyat dalam RMK13
SERDANG: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim akan dilaksanakan oleh kerajaan MADANI dengan tegas.
Anwar menyifatkan titah Seri Paduka Baginda pada Istiadat Pembukaan Parlimen sebagai jelas dan berprinsip.
“(Titah Yang di-Pertuan Agong) jelas dan baik, (kerajaan) akan melaksanakannya dengan tegas,” katanya kepada pemberita selepas majlis di sini.
Sultan Ibrahim menitahkan agar amalan rasuah diperangi secara besar-besaran tanpa melindungi sesiapa.
Baginda menegaskan usaha membanteras rasuah perlu termasuk pemberi, ejen dan pihak bersubahat, bukan hanya penerima.
Selain itu, Sultan Ibrahim bertitah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) perlu memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat.
Fokus bidang tersebut adalah pendidikan, perumahan, kesihatan dan pengangkutan awam.
Baginda turut menegaskan sistem pendidikan negara perlu diperkasa sebagai asas pembinaan bangsa.








