Perdana Menteri Anwar Ibrahim umumkan penambahbaikan SARA untuk 8.1 juta penerima dengan peruntukan RM8 bilion, termasuk manfaat untuk 3.1 juta individu bujang.
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penambahbaikan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) digubal bagi memastikan bantuan kepada rakyat lebih tersusun, bersasar dan berterusan.
Beliau berkata langkah itu sejajar dengan tekad Kerajaan MADANI untuk meringankan beban kos sara hidup.
Sebanyak 3.1 juta individu bujang mula menerima manfaat SARA melalui pengkreditan terus ke dalam MyKad bermula hari ini.
BACA: Bantuan SARA RM100 dimanfaatkan rakyat seluruh negara untuk keperluan asas
Anwar menegaskan inisiatif itu bukan sekadar bantuan tunai tetapi turut memberi nafas baharu kepada ekonomi tempatan.
“Penyertaan kedai-kedai kecil dalam rangkaian SARA diperluas kepada 10,000 premis di seluruh negara,” katanya menerusi hantaran Facebook.
Beliau berkata langkah itu memastikan kekayaan negara mengalir kembali kepada peniaga kecil di bandar, pekan dan desa.
Kerajaan akan terus memastikan tiada rakyat yang tercicir dalam usaha memenuhi keperluan asas kehidupan mereka.
“Inilah semangat MADANI yakni kita berdiri sama tinggi, duduk sama rendah,” ujarnya.
Bantuan SARA untuk golongan bujang yang layak sehingga RM100 sebulan boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan asas.
Penyaluran SARA Bulanan 2026 pula telah bermula pada 9 Januari melibatkan lima juta penerima.
Penerima itu terdiri daripada 3.7 juta isi rumah dan 1.3 juta warga emas tanpa pasangan.
Secara keseluruhan, SARA Bulanan 2026 melibatkan 8.1 juta penerima dengan peruntukan sebanyak RM8 bilion.
Jumlah itu meningkat berbanding 5.4 juta penerima dengan peruntukan RM5 bilion pada tahun 2025. – Bernama








