KPT perkukuh kurikulum MPU bagi tingkatkan nilai patriotisme, kenegaraan dan jati diri dalam kalangan lebih 1.1 juta pelajar IPT.
SERDANG: Kerajaan komited memperkukuh pelaksanaan Mata Pelajaran Pengajian Umum (MPU) di institusi pengajian tinggi (IPT).
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata langkah itu bertujuan memperkukuh nilai patriotisme, kenegaraan dan jati diri dalam kalangan pelajar.
Beliau menegaskan MPU tidak wajar dianggap sebagai subjek sampingan atau sekadar memenuhi keperluan pentadbiran.
“Kalau kita mahu melihat rupa bangsa sesebuah negara dan jenis generasi yang ingin kita lahirkan, ia mesti bermula daripada acuannya,” katanya di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Zambry berkata pelaksanaan MPU sebelum ini berdepan cabaran seperti pendekatan tidak seragam dan tanggapan ia kurang penting.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kini melaksanakan pendekatan baharu melalui penstrukturan kurikulum MPU yang lebih komprehensif.
Reformasi ini digerakkan hasil kerjasama dua tokoh pemikir negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin dan Profesor Emeritus Tan Sri Dr Osman Bakar.
Inisiatif itu dilaksanakan susulan mandat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menekankan keperluan memperkukuh pemahaman kenegaraan.
Reformasi MPU melibatkan lebih 1.1 juta pelajar IPT tahun ini.
Ia dijangka memberi kesan langsung kepada usaha pembinaan negara bangsa melalui pendidikan kenegaraan yang lebih tersusun.
Pelaksanaan reformasi itu turut diperkukuh menerusi penstrukturan semula empat kelompok kursus MPU.
Kelompok U1 menekankan falsafah, nilai dan sejarah manakala U2 memfokuskan pembangunan kemahiran insaniah.
Kelompok U3 memperluas pengetahuan dalam bidang keusahawanan dan teknologi sementara U4 menekankan penglibatan komuniti.
Pelaksanaan MPU yang disemak semula disokong oleh tadbir urus jelas melibatkan kementerian, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan institusi.
Reformasi MPU dilihat sebagai pelaburan strategik jangka panjang kerajaan bagi melahirkan siswaah berintegriti.
Ia bertujuan melahirkan generasi yang berfikiran kritis dan bersedia memainkan peranan aktif dalam pembangunan negara. – Bernama







