Kerajaan sasarkan pelaksanaan eKYC bagi semua platform media sosial pada suku kedua 2026, had umur minimum 16 tahun untuk buka akaun.
KOTA MARUDU: Kerajaan menyasarkan setiap platform media sosial melaksanakan pengesahan identiti pengguna secara digital (eKYC) menjelang akhir suku kedua 2026.
Langkah ini bagi menguatkuasakan had umur minimum 16 tahun untuk pembukaan akaun media sosial.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah diminta mengadakan sesi libat urus dengan semua platform.
“Tempoh munasabah ini mengambil kira apa yang telah berjaya dilaksanakan di negara lain, termasuk Australia,” katanya.
Beliau berkata platform boleh memanfaatkan mekanisme serupa untuk memudahkan atau mempercepat proses pelaksanaan.
Fahmi ditemui pemberita selepas program Hari Bersama Komuniti di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Simpang Tiga Langkon di sini.
Mekanisme itu antaranya melihat cara pembekuan akaun untuk kanak-kanak bawah 16 tahun serta pengaksesan semula apabila mereka cukup umur.
Pelaksanaan eKYC akan melibatkan penggunaan dokumen pengenalan diri seperti pasport, MyKad dan MyDigital ID.
“Hal ini penting kerana selain memastikan kanak-kanak bawah usia 16 tahun tidak guna platform media sosial, kita juga berhasrat membanteras kegiatan scammer dan judi dalam talian.”
“Banyak scammer dan judi dalam talian menggunakan akaun palsu,” katanya.
Menyentuh berkenaan NADI, beliau berkata kerajaan bercadang menambah sebuah lagi pusat berkenaan di Sabah.
Beberapa lokasi sesuai sedang dikenal pasti mengambil kira faktor lokasi, muka bentuk bumi serta populasi penduduk.
Fahmi berkata setakat ini terdapat 131 NADI di seluruh Sabah, iaitu jumlah kedua tertinggi di seluruh negara selepas Sarawak.







