the sun malaysia ipaper logo 150x150
Monday, December 15, 2025
28.5 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Kerajaan tiada rancangan naik taraf FT2 dan MRR2 atas faktor ekonomi

Menteri Kerja Raya umum tiada rancangan naik taraf FT2 dan MRR2 kerana tidak ekonomik, fokus beralih kepada alternatif seperti LRT3 dan SUKE

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak mempunyai sebarang perancangan untuk menaik taraf FT2 Lebuhraya Persekutuan walaupun laluan itu mencatatkan tahap kesesakan trafik paling tinggi.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata cadangan menaik taraf FT2 sepanjang 34.59 kilometer dari Kuala Lumpur ke Pelabuhan Klang tidak lagi ekonomik untuk dilaksanakan.

Beliau berkata ia melibatkan kos pengambilan balik tanah dan aset yang tinggi serta berpotensi menimbulkan kesan sosial.

“Berdasarkan data bacaan lalu lintas 2024, tahap perkhidmatan jalan di FT2 Lebuhraya Persekutuan menerusi Stesen Banci BR101 direkodkan pada ‘LOS F’, iaitu aliran trafik sesak,” katanya di Dewan Negara.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Tiew Way Keng mengenai status naik taraf lebuh raya dan jalan Persekutuan di Selangor.

Nanta berkata kerajaan sedang meneliti cadangan pembinaan lebuh raya baharu untuk menyuraikan aliran trafik di FT2.

Kerajaan juga menyediakan alternatif pengangkutan awam melalui perkhidmatan LRT3 dari Shah Alam ke Kuala Lumpur yang dijangka mula beroperasi pada 31 Dis ini.

Mengenai FT28 Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Nanta berkata kementerian telah melaksanakan Projek Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) bagi membantu mengurangkan kesesakan.

Bagaimanapun, menaik taraf FT28 MRR2 juga tidak lagi ekonomik atas faktor kos dan implikasi sosial yang sama.

Sementara itu, beliau memaklumkan tahap perkhidmatan trafik di FT5 Jalan Klang-Sabak Bernam masih berada pada LOS A, iaitu mampu menampung kapasiti trafik sedia ada.

Justeru, kerajaan belum mempunyai sebarang perancangan untuk menaik taraf laluan FT5.

Nanta berkata Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) yang dijangka siap sepenuhnya pada 2026 berpotensi menjadi alternatif mengurangkan kesesakan trafik di FT5.

Beliau menegaskan sebarang cadangan pembinaan jalan baharu atau kerja naik taraf perlu dikemukakan oleh kerajaan negeri berdasarkan senarai keutamaan.

Cadangan itu perlu melalui proses penyelarasan Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) dan jabatan teknikal berkaitan sebelum dipertimbangkan oleh kementerian.

Pertimbangan itu tertakluk kepada agihan peruntukan pembangunan yang diterima. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories