Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh memberi amaran bahawa penghakiman media sosial boleh menjejaskan proses keadilan dan mengundang tindakan penghinaan mahkamah.
SHAH ALAM: Ketua Hakim Negara Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh memberi amaran bahawa fenomena ‘mahkamah siber’ atau penghakiman melalui media sosial mencabar institusi kehakiman dan proses keadilan.
Beliau berkata kecenderungan warganet membuat andaian, melabel dan menjatuhkan hukuman sebelum perbicaraan mahkamah selesai adalah berbahaya.
“Tindakan masyarakat menghukum seseorang sebelum perbicaraan bermula atau sebelum saksi pertama memberikan keterangan boleh menjejaskan keadilan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa proses kehakiman perlu dibiarkan berjalan secara teratur dengan pihak pendakwaan dan pembelaan mengemukakan hujah mereka.
“Kecenderungan menjatuhkan hukuman dengan mendahului mahkamah boleh menyebabkan mereka dikenakan perintah menghina mahkamah,” tambahnya.
Wan Ahmad Farid berkata demikian pada sesi soal jawab selepas menyampaikan Syarahan Perdana Ketua Hakim Negara di Universiti Teknologi MARA (UiTM) hari ini.
Beliau menasihati mana-mana pihak yang tidak berpuas hati agar menggunakan saluran rayuan yang sah, bukan melontarkan komen keterlaluan di media sosial.
“Jika mahu memahami dan mengkritik secara bertanggungjawab, pelajari undang-undang dan fahami prosesnya. Jangan terburu-buru menjatuhkan hukuman di alam maya,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan agar masyarakat mengelak komen berbentuk penghinaan terhadap hakim dan pihak terlibat kerana ia boleh menjejaskan kewibawaan institusi kehakiman.
Program syarahan perdana itu dianjurkan Fakulti Undang-Undang UiTM dengan kerjasama Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan.
Ia disertai 444 pelajar tahun akhir serta dihadiri Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Azizah Nawawi dan beberapa hakim kanan lain.







