Beregu negara Kang Khai Xing-Aaron Tai enggan leka selepas menang dua kejohanan di India, fokus tingkat konsistensi untuk saing beregu terbaik dunia
KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara Kang Khai Xing-Aaron Tai enggan leka dengan kejayaan memenangi Kejohanan Antarabangsa Syed Modi dan Masters Guwahati di India.
Khai Xing berkata beliau dan Aaron masih perlu berusaha keras untuk meningkatkan konsistensi permainan bagi bersaing dengan beregu handalan dunia.
“Saya sangat gembira dengan kejayaan menjuarai dua kejohanan berturut-turut kerana ia sangat bermakna untuk kami,” katanya.
Beliau menambah kemenangan itu menambah keyakinan dan membantu meningkatkan ranking mereka.
“Kami masih perlu banyak berlatih dan terus membina keyakinan untuk bersaing dengan pasangan 10 terbaik dunia,” ujarnya.
Bekas juara remaja dunia itu meraih gelaran ketiga musim ini selepas menewaskan gandingan India Pruthvi Krishnamurthy Roy-Krishnaprasad Sai Pratheek 21-13, 21-18 di final Masters Guwahati.
Khai Xing-Aaron seterusnya akan beraksi di Kejohanan Masters Odisha bermula hari ini hingga 14 Disember.
Misi mereka adalah memburu gelaran hatrik dalam kejohanan tersebut. – Bernama







